Monday, March 25, 2013

Hetty sangat profesional “No money, no talk.”

25 Mac 2013

“No money, no talk.” Mungkin kata-kata ini keras bunyinya tetapi begitulah tegasnya penyanyi dari seberang, Hetty Koes Endang, 55, ketika majlis sidang media Sepetang Di Kuala Lumpur Bersama Hetty Koes Endang, petang Khamis lalu.
Hetty yang popular dengan lagu Hati Lebur Jadi Debu enggan turun ke Dewan Perlis, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di lokasi berlangsungnya sidang media jika penganjur tidak memenuhi apa diminta, hingga majlis dibatalkan selepas lebih sejam wartawan menanti.

Sesekali saya turun padang, dapat pula menyaksikan satu drama menarik di depan mata untuk dikongsi minggu ini. Rasa teruja menghadiri majlis itu bermula apabila melihat ramai rakan lama dari kalangan editor hiburan turut turun padang.
Begitu juga wartawan otai, maklumlah yang datang artis seberang juga orang lama. Malah rakan dari dunia hiburan turut kelihatan di majlis itu.

Walaupun lebih sejam menunggu, penantian bukan penyeksaan, sebaliknya berbual sesama rakan dari soal kerja hinggalah gosip dunia artis. Namun penantian panjang itu berakhir dengan kejutan apabila diumumkan majlis dibatalkan.

Atas alasan apa? Difahamkan, Hetty enggan turun selagi bayaran 50 peratus untuk persembahannya sempena Minggu Setiausaha tidak dijelaskan.
Penganjur cuba berbincang lebih sejam, tetapi penyanyi itu enggan bekerjasama selagi mereka tidak memenuhi apa diminta.

Betapa profesionalnya Hetty kerana tidak bertolak ansur soal bayaran. Jika penganjur gagal memenuhi apa diinginkan, tidak ada kompromi walaupun wartawan menunggu kehadirannya.
Hetty tiba di Kuala Lumpur pada Rabu dan majlis berlangsung keesokan hari tetapi sehingga jam 3 petang, urusan pembayaran tidak berjalan lancar.

Persembahan sempena Minggu Setiausaha di PWTC pada 25 April nanti dianjurkan Niqas Resources yang sebelum ini menjalankan perniagaan pembinaan bekerjasama dengan Gitu-gitu Productions milik pelawak Saiful Apek.

Mujur drama menarik petang itu diselamatkan seseorang hingga sidang media itu akhirnya berlangsung kembali. Ketua Pegawai Eksekutif PWTC, Datuk Maxson Abdullah, menyelamatkan keadaan apabila sanggup menyelesaikan masalah itu.

Apabila melangkah masuk ke Bilik Perlis, tepat jam 5.10 petang, segala kemelut yang berlaku lebih sejam tadi disimpan rapi oleh Hetty dan sangat profesional hingga sanggup meminta maaf serta meletakkan kesalahan di pihaknya, seolah-olah drama genting sebentar tadi tidak berlaku.

Dengan senyuman di bibir, Hetty dalam ucapan aluannya meminta maaf atas kelewatannya dengan memberi alasan mengambil masa lama untuk menggosok pakaian.

Dalam gurauan, Hetty mengatakan biasanya dia membawa ramai pembantu untuk menguruskan pakaiannya tetapi kali ini hanya membawa anak gadisnya, Afifa Qamariah, 17, hingga mengambil waktu lama untuk bersiap.

Walaupun Hetty cuba menyembunyikan keadaan, hakikatnya semua diketahui media. Apabila saya bertanya perkara itu sebaik selesai majlis, Hetty menganggap apa yang berlaku sebagai perkara kecil dan biasa berlaku kepada dirinya yang menyanyi selama 38 tahun.

Akui ibu dua anak ini, ada yang lebih besar pernah dialaminya tetapi apa paling penting baginya, dalam soal kerja harus profesional.

Sememangnya dalam bisnes hiburan, masalah bayaran sering didengar. Sering kita dengar cerita artis mendakwa kena tipu atau kena kapur dengan penganjur yang menghilang selepas selesai persembahan.

Ada artis bertegas, tidak akan naik pentas selagi baki bayaran 50 peratus tidak dijelaskan walaupun peminat menanti. Tanpa ketegasan seperti ini, tentu artis akan terus menjadi mangsa penipuan.

Satu pengajaran buat Niqas Resources yang kali pertama melangkah ke bisnes hiburan dengan menganjurkan majlis Minggu Setiausaha tetapi berlaku masalah seperti ini.

Mereka menafikan ada masalah kewangan, sebaliknya mengatakan berlaku masalah teknikal dengan bank hingga urusan pembayaran tidak berjalan lancar.

Malah, mereka berusaha berurusan dengan bank sejak paginya tetapi berdepan masalah teknikal. Ia juga harus menjadi pengajaran kepada penganjur dan artis supaya masalah seperti ini tidak berlaku.

Usaha membawa Hetty juga sebenarnya atas idea penyanyi Fazli Zainal yang turut hadir di majlis itu. Agak menghairankan juga kerana selama ini Fazli lantang mengkritik kemasukan artis luar, terutama dari Indonesia, hingga artis tempatan sukar mendapat peluang di negara sendiri seperti konsert.

Namun untuk projek sulung yang dianggapnya sangat penting, mengapa Fazli memilih penyanyi veteran dari Indonesia? Bagaimanapun, tegas Fazli, dia ada alasan kukuh untuk berbuat demikian.

Bagi Fazli, tiga penyanyi dilihatnya memiliki kriteria utama yang harus dimiliki penyanyi hebat iaitu mampu tarik audien (membeli tiket), vokal hebat dan bijak berinteraksi. Mereka ialah Anita Sarawak, Datuk Sudirman Arshad dan Hetty Koes Endang.

“Hetty diminati kalangan VVIP sama ada dari kalangan istana hinggalah korporat, vokal hebat dan bijak berkomunikasi.

“Saya mahu belajar dan berkongsi ilmu dimiliki Hetty, begitu juga penyanyi tanah air lainnya. Selama ini saya suka belajar dengan menghadiri konsert sama ada artis luar atau penyanyi terkenal tanah air,” katanya.

Mula menyanyi pada 1974 dan meraih kejayaan besar pada 1977 di festival antarabangsa seperti di Jepun dan Chile, Hetty membuktikan dirinya bukan saja hebat sebagai penyanyi rakaman dengan lebih 100 album, tetapi juga hebat di pentas festival, di pentas persembahan dinner show dan korporat serta di televisyen.

Menyanyi kini bukan lagi keutamaannya dan hanya bersedia menerima undangan menyanyi di Malaysia, Brunei dan Singapura (tidak di negaranya) kerana ia dianggap sebagai percutian, membeli-belah serta melepaskan rindu kepada tiga negara yang punya nostalgia indah buat dirinya.

Hetty akui, tidak susah berurusan dengannya kerana dia tidak suka mempunyai pengurus, sebaliknya boleh berurusan sendiri atau ahli keluarganya. Namun paling penting, bagi Hetty, sedia memenuhi apa dimintanya.
myMetro

No comments:

Post a Comment