Kaedah Omnipresence, atau meningkatkan kehadiran anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan sahaja dapat mengurangkan jenayah, malah kini diguna pakai untuk menghalang pencerobohan anasir pengganas seperti insiden di Lahad Datu, Sabah.
    
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar yakin langkah itu dapat memastikan keyakinan serta kepuasan masyarakat terhadap tahap keselamatan yang diambil pasukan keselamatan khususnya polis.
    
Beliau berkata pelaksanaan Omnipresence bermula di gugusan Felda Sahabat, 130 kilometer dari bandar Lahad Datu, termasuk penambahan logistik kereta peronda, pembinaan balai baharu, menaik taraf balai sedia ada serta penambahan pasukan keselamatan.
    
Langkah itu sejajar dengan pelaksanaan Kawasan Keselamatan Khas Sabah (Esscom), yang menjadi perisai pertahanan bagi menjaga kedaulatan dan keselamatan 1,400 kilometer persisiran Pantai Timur Sabah melibatkan pelbagai agensi keselamatan terutamanya polis dan tentera, katanya.
    
"Kemungkinan juga kita akan menghantar pegawai-pegawai kita di Semenanjung secara bergilir-gilir dari semasa ke semasa ke Sabah untuk memperkukuhkan lagi kehadiran polis di tempat-tempat yang kita rasa perlu supaya masyarakat aman dan selamat," katanya dalam wawancara sempena Hari Polis ke-206.
    -
Beliau mengumumkan empat balai polis baharu, menggunakan kontena sebagai balai sementara, akan ditempatkan di Pulau Bumbum, Semporna; Kota Gaya, Kota Kinabalu; dan Tanjung Labian serta Felda Sahabat, di Lahad Datu, diperkukuhkan dengan kekuatan anggota Pasukan Gerakan Am dan polis biasa.
    
Ismail berkata bagi meningkatkan keupayaan anggotanya untuk bercampur dengan masyarakat, untuk tahun ini PDRM mengadakan lebih 700 kursus di seluruh negara bagi mengukuhkan penguasaan berkomunikasi kepada anggotanya pada peringkat atasan dan bawahan.
    
Ini membuktikan PDRM sentiasa menganggap kesejahteraan dan keselamatan rakyat adalah keutamaan sepanjang 206 tahun pasukan keselamatan itu ditubuhkan.
    
"Saya harap rakyat Malaysia dapat menilai pencapaian kita, begitu juga dari sudut mutu perkhidmatan kami. Saya difahamkan tahun lepas, tahap kepuasan masyarakat terhadap PDRM melebihi sasaran iaitu 65.7 peratus di mana sasaran adalah 65 peratus," katanya.
    
Namun beliau mengharapkan semua pegawai dan anggotanya di peringkat persekutuan dan negeri supaya dapat meningkatkan mutu perkhidmatan lebih daripada sasaran termasuk dalam hal menerima laporan dan pendakwaan.
    
Justeru, beliau berkata bagi memastikan pegawai dan anggotanya sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik, pihaknya akan memastikan kebajikan anggota terus dibela dan peningkatan aset perkhidmatan dijaga menerusi Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) untuk projek pembangunan PDRM.
    
Ismail berkata antara projek yang telah siap adalah 86 projek yang menelan belanja sebanyak RM7.34 bilion, 30 projek masih dalam pembinaan bernilai RM2.1 bilion dan sembilan lagi projek yang sudah diluluskan yang menelan belanja sebanyak RM3.83 juta serta peruntukan bernilai RM9.9 bilion bagi menaikkan taraf struktur Ibu Pejabat Polis Daerah.
    
Beliau turut mencadangkan pengambilan Inspektor dan terutamanya Sarjan di kalangan golongan muda dapat terus diperluaskan dalam menghadapi cabaran melibatkan keamanan dan keselamatan negara.
    
"Kita mahu mereka (sarjan) yang berusia awal 20-an mampu memikul tanggungjawab sebagai pegawai penyiasat dan pada umur tersebut mereka mempunyai tahap fizikal dan mental (pengetahuan) yang kuat," katanya.
    
Sempena sambutan Hari Polis ke-206, beliau menasihati pegawai dan anggotanya supaya sentiasa menyedari cabaran yang akan mereka hadapi dalam mempertahankan serta memperkukuhkan keamanan dan keselamatan negara.

- Bernama