Saturday, March 16, 2013

Penganalisis : Kenyataan Musa Hitam ada asas

sinar
15 Mac 2013
Tun Musa Hitam
Tun Musa Hitam
SHAH ALAM – Penganalisis mengakui kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam yang menegaskan tidak adil jika menganggap negara akan bankrap jika pembangkang memerintah negara mempunyai asas.

Penganalisis Geografi Politik, Universiti Malaya (UM), Dr Amer Saifude Ghazali berkata, sebagai seorang tokoh politik, apa yang dikatakan Musa itu sudah tentu mempunyai asas dan kebenaran.

Katanya, rakyat perlu membezakan antara kerajaan dengan parti politik.

“Kerajaan tetap akan kekal sebagai kerajaan tidak kira parti politik mana yang memerintah, sedangkan parti mana yang menang dalam pilihan raya adalah parti politik yang akan memerintah kerajaan itu.

“Kalau rakyat dapat membezakan kedua-dua perkara itu, saya rasa tidak ada masalah terhadap kenyataan beliau (Musa) kerana sebuah kerajaan itu mempunyai dana, tabungan dan kira-kiranya sendiri,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Musa berkata demikian selepas berkongsi pengalaman dan pandangan kritis beliau mengenai bagaimana orang Melayu mahu memastikan ekonomi mereka terus kukuh di Malaysia dalam sesi Bicara Minda: Survival Ekonomi Melayu anjuran Sinar Harian, Selasa lalu.

Musa berkata, sekiranya Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih Putrajaya, gabungan tersebut akan berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan ekonomi negara berkembang dengan baik
Bersetuju dengan pandangan itu, Timbalan Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan, Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Dr Nor Ghani Md Nor berkata, kenyataan Musa itu mempunyai kebenarannya.

“Bagi saya, bila rakyat sudah memilih satu kerajaan, keupayaan sesuatu kerajaan untuk berbelanja dan mengutip cukai ini sebenarnya mempunyai kekangan undang-undang. Mana-mana kerajaan tidak boleh membelanjakan wang negara dengan sesuka hati.

“Belanjawan negara perlu mendapat kelulusan di Parlimen. Takkan Parlimen hendak meluluskan belanjawan yang akan mufliskan negara,” katanya.

Jelasnya lagi, perbelanjaan kerajaan perlu melalui prosedur tersendiri dan mempunyai proses tertentu sebelum boleh menggunakannya termasuk bagi tujuan berbelanja serta mengutip cukai.

Katanya, apabila sesuatu perkara itu tidak perlu melalui proses, semua pihak akan berbelanja mengikut suka hati, sedangkan proses yang ada sekarang dijamin oleh perlembagaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam MPN, Prof Roselina Ahmad Saufi pula berpendapat, berdasarkan rekod prestasi pentadbiran PR di empat negeri yang ditadbir PR, kemampuan perikatan itu masih belum meyakinkan.

Tambah beliau, kemajuan Kelantan yang ditadbir PR selama 22 tahun sangat berbeza jika dibandingkan dengan parti yang memegang kerajaan sekarang.

“Macam mana PR mahu meyakinkan rakyat jika satu hari mereka mentadbir negara dan terus memegang kerajaan negeri serta membawa negara Malaysia ke tahap yang lebih tinggi masih menjadi satu persoalan.

“Sedangkan projek-projek besar seperti lebuh raya  dan jambatan kedua Pulau Pinang juga merupakan inisiatif kerajaan pusat,” katanya.

Mengulas pandangan Musa, Roselina menambah, kenyataan itu terlalu umum dan tidak ada asas-asas untuk menyokong kenyataan tersebut.

Beliau menjelaskan, apa yang dinyatakan Musa hanya andaian dan belum terbukti dengan perkara-perkara yang sahih.

“Pada pandangan saya, itu hanya cakap untuk meraih undi bukan bercakap berdasarkan fakta-fakta.

"Kalau ada fakta yang kukuh misalnya dari sudut penyelidikan tidak kira sama ada membabitkan pembangkang ataupun bukan, perlu membuktikan mereka tidak akan bangkrapkan negara.

“Tetapi, kenyataan beliau (Musa) tidak ada bukti yang kukuh bagi menjamin kenyataan itu,” jelasnya.

Berbeza dengan Roselina, Amer pula berpendapat, berdasarkan rekod PR yang berjaya menguasai beberapa negeri pada pilihan raya lalu, prestasi PR tidak ada masalah walaupun ada cerita-cerita politik.

Tambah beliau, apa yang penting, rakyat tidak pernah mendengar keempat-empat negeri itu bangkrap.

“Itu adalah satu petanda sesiapa yang menguasai kerajaan sama ada kerajaan sedia ada atau pembangkang, tidak ada masalah,” katanya.

Selain itu, ketika ditanya bagaimana mungkin cara bagi PR untuk melaksanakan janji dalam manifestonya, Nor Ghani pula menjelaskan, cara pelaksanaannya dengan kerajaan ada sekarang mungkin berbeza.

“Misalnya, PR janji nak turunkan harga kereta. Bila turun harga kereta bermakna kerajaaan akan kurang kutip cukai.

“Di sini kerajaan mempunyai dua pilihan iaitu sama ada mengurangkan perbelanjaan di tempat lain ataupun meninggikan cukai di tempat lain. Sebenarnya dari segi jumlah perbelanjaan tidak banyak beza pun dengan kerajaan sekarang,” jelas beliau.

Jelas beliau lagi, dasar perbelanjaan berhati-hati atau kurang itu mungkin tidak banyak beza dengan pemerintah sekarang, cuma yang beza nanti ialah cara belanjawan negara itu diagihkan.

No comments:

Post a Comment