Monday, April 15, 2013

Guna dinamit lari dari penjara

myMetro 15 April 2013

Lille (Perancis): Seorang perancang kumpulan perompak bersenjata ganas memboloskan diri dari tahanan semalam selepas meletupkan lima pintu penjara.
Dianggap penjenayah paling digeruni di Perancis, Redoien Faid menjadikan empat warden Penjara Sequedin sebagai tebusan.

Dia kemudian meletupkan lima pintu besi penjara menggunakan dinamit.
Polis percaya Faid memperoleh bahan letupan itu yang diseludup isterinya menggunakan balutan sapu tangan sebelum ini. Sebaik saja bolos, Faid membebaskan warden terbabit dan melarikan diri menaiki sebuah kereta.

Kenderaan itu kemudian ditemui dibakar berhampiran bandar Ronchin. Jurucakap polis berkata, pihak berkuasa sedang mengesan kenderaan kedua yang digunakan Faid bagi melarikan diri.

Jurucakap penjara berkata, tindakan nekad Faid ternyata dirancang teliti.
“Kami masih mengumpul maklumat,” katanya.

Faid dinamakan sebagai suspek utama kejadian rompakan bersenjata mengorbankan seorang pegawai polis pada 2010.
Seramai 27 orang ditahan dalam operasi selepas rompakan itu, tetapi Faid bukan seorang daripada mereka. Bagaimanapun, dia akhirnya diberkas pada Jun 2011 dan dipenjara lapan tahun.

Faid yang membesar di kawasan perumahan kerajaan di pinggir Paris dianggap ganas dan sering menjadikan kenderaan membawa wang sebagai sasarannya. - DM

No comments:

Post a Comment

Post a Comment