SHAH
ALAM, 8 April — Ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) disahkan akan
bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kali ini dengan
menggunakan tiket PAS, kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Presiden PAS itu berkata, parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu akan
meletakkan calon daripada DHPP untuk menarik undi masyarakat bukan
Islam kerana kebanyakan calon bukan Islam bertanding atas tiket PKR dan
DAP.
“(Mereka) akan ada di mana-mana negeri, DHPP ada calon India, Cina, dan Iban.
“Masalah kita adalah kerana banyak bukan Islam adalah calon DAP dan
PKR,” katanya ketika sidang media selepas majlis Bual Bicara di Kompleks
Karangkraf di sini.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini
dilaporkan berkata parti itu, melalui Majlis Syura telah membenarkan
bukan Islam bertanding atas tiket parti itu.
“Ini kali pertama dalam sejarah kita calonkan DHPP. Kerusi itu (yang
mereka tandingi) memang kerusi PAS maka mereka akan bertanding atas
lambang parti,” kata Tuan Ibrahim.
Abdul Hadi bagaimanapun enggan mengulas kerusi yang akan ditandingi
calon DHPP berkenaan, sebaliknya menggesa agar semua pihak menunggu
keputusan berkenaan ketika penamaan calon.
DHPP didakwa mempunyai keahlian seramai 35,000 pengikut di kalangan masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam.
Pada Pilihan Raya 2008, PAS Johor telah meletakkan calon wanita
daripada bukan Islam, Kumutha Raman, untuk bertanding di kerusi Dewan
Undangan Negeri (DUN) Tiram dalam kawasan Parlimen Johor Bahru.
Beliau walau bagaimanapun tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Maulizan Bujang.
Mengulas mengenai pembahagian kerusi, Abdul Hadi menjelaskan PAS
telah menyelesaikan hampir keseluruhan kerusi yang akan ditandingi
mereka dan hanya ada kurang 10 kerusi yang masih tertangguh.
“Bagi kerusi kami, 99.9 peratus dah selesai, yang tinggal masih
terlalu kecil dan boleh diselesaikan ... tidak sampai 10 kerusi
bertindih,” katanya dan menambah pengundi dan penyokong yang akan
menentukan calon yang akan dipilih mereka. TMI
No comments:
Post a Comment