PASIR
PUTEH, 24 April — Pemimpin PAS memberitahu pengundi Kelantan untuk
mengalahkan Umno semasa parti tersebut berada dalam keadaan paling
lemah, sambil mengakui malam tadi parti Islam itu mungkin tidak
mempunyai peluang sebaik ini pada masa akan datang.
Kemenangan
Pakatan Rakyat (PR) semakin dekat sekarang kata Timbalan Pesuruhjaya
III PAS Kelantan Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah memberi amaran kepada
rakyat Kelantan agar tidak “membuat kesalahan” mengundi calon Umno pada
pilihan raya 5 Mei akan datang.
“Kita kena rebut peluang. Kalau kita main ‘gocoh’, kasi penumbuk
paling kuat, biar tubik dari stage,” kata Nik Amar dalam dialek Kelantan
merujuk kepada sukan tinju semasa pelancaran manifesto PAS untuk negeri
tersebut.
Beliau menyelar keputusan Umno untuk meletakkan ulama sebagai calon
dengan mengatakan PAS “meletakkan ulama sebagai pemandu”, akan tetapi
Umno “meletakkan mereka dalam bonet”.
Menjawab
kritikan Umno mengenai kegagalan PAS untuk membawa pembangunan kepada
salah satu negeri termiskin di Malaysia itu, Nik Amar menegaskan
pembangunan materi adalah kedua selepas pembangunan spiritual yang PAS
telah bawa.
“Pembangunan kebendaan tak bawa kita ke mana-mana, pembangunan fizikal semata-mata membuatkan manusia bingung.
“Manusia takleh hidup kalau takde agama. Manusia takde agama takde
nilai dalam hidup,” tambah beliau membandingkan agama dengan pembangunan
fizikal seperti jalan, elektrik dan kedai serbaneka.
PAS Kelantan melancarkan manifesto sembilan perkara malam tadi
mengatakan sengaja dikeluarkan lambat sedikit untuk menghalang BN
daripada menirunya.
Walau bagaimanapun, hanya satu perkara dalam manifesto tersebut
diberikan secara terperinci malam tadi iaitu janji untuk memastikan
rakyat Kelantan menerima royalti minyak dan gas yang dikatakan dinafikan
terhadap mereka.
Selebihnya
mengenai manifesto tersebut akan diumumkan secara terperinci pada
Khamis kata pengarah pilihan raya PAS Kelantan, Wan Nik Wan Yussof.
BN mengumumkan manifesto mereka untuk Kelantan awal bulan ini
bertajuk “Rakyat di Hati, Janji Ditepati” yang memberi tumpuan kepada
Islam, menjanjikan lebih banyak program keagamaan, pembinaan masjid dan
memantapkan sekolah agama.
Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan tujuh projek
utama di Kelantan Januari lepas, termasuk lebuhraya dari Kuala Krai ke
Kota Baru, pembinaan stadium baru dan masjid terbesar di negeri tersebut
serta projek perumahan rakyat dengan permulaan 3,000 unit rumah.
Selain itu ianya turut menjanjikan pengenalan sistem pengangkutan
awam Rapid Kota Baru, cawangan bandar Universiti Teknologi Mara (UiTM)
yang boleh memuatkan 5,000 orang pelajar dan projek untuk menyelesaikan
masalah air di Kelantan. TMI
No comments:
Post a Comment