myMetro 23 april 2013
SEREMBAN: "Ketika hujan lebat, siulan angin begitu kuat sebelum
melihat besi, kerusi, cawan dan payung gerai melayang. Saya terlalu
takut sebelum suami menasihatkan supaya berlindung di dalam gerai," kata
Habsah Ujang, 42, seorang daripada lapan pengusaha gerai di Medan
Selera Gelanggang Paroi, di sini, yang menjadi mangsa ribut, petang
semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, Habsah yang berniaga
nasi ayam dan kuey teow goreng berkata, seorang pelanggan lelaki yang
baru datang ke gerainya turut cedera di tangan kanan terkena zink
melayang hingga terpaksa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban
(HTJS) dan menerima tujuh jahitan. Menurutnya, ketika kejadian dia
bersama suami, Badar Hisham Mat Nor, 51, menjalani rutin biasa melayan
pelanggan di gerai apabila tiba-tiba hujan lebat sebelum disusuli angin
kencang.
"Sebelum ini pernah berlaku ribut tapi tak teruk sangat. Saya begitu takut apabila seorang pelanggan yang baru saja masuk gerai cedera apabila zink melayang mengenai tangannya.
“Seorang rakannya yang membantu kemudian memberitahu saya mangsa menerima tujuh jahitan," katanya.
Gerai tambahan itu turut roboh.
Seorang lagi mangsa, Jamilah Mat Sit, 43, berkata, ketika kejadian dia di rumahnya di Pancur apabila rakan memberitahu mengenai kejadian itu.
Menurutnya, dia bergegas ke gerai sebab bimbangkan keselamatan ibunya, Patimah Alias, 72, yang disangka berada di gerai.
"Nasib baik ibu tak ke gerai. Saya benar-benar takut. Rupa-rupanya ibu berada di rumah abang di Gedung Lalang Lama. Masa saya sampai, saya terkejut melihat gerai rosak, besi dan bumbung bertaburan.
"Pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) ada datang untuk menutup suis
besar. Saya baru lagi menyambung perniagaan ibu selepas dia disahkan
menghidap kencing manis, Januari lalu," katanya yang menjual nasi lemak.
Sementara itu, calon UMNO bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Abu Ubaidah Redza bergegas ke lokasi kira-kira jam 7 malam sebelum berjanji berusaha membawa masalah itu kepada pihak berkenaan untuk bantuan segera.
No comments:
Post a Comment