Thursday, April 4, 2013

Tunku Mahkota Johor melepaskan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor

pix_topright

‘Saya terpaksa’

Oleh Rizar Mohd Noor
Johor Bahru: Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengambil tindakan drastik apabila melepaskan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) berkuat kuasa serta-merta, malam tadi.
Bagaimanapun, menurut kenyataan media yang diedarkan, Tunku Ismail masih membabitkan diri dalam bola sepak di Johor apabila menjadi penaung persatuan itu bagi memastikan segala urusan pentadbiran, terutama aspek kewangan dan kebajikan kakitangan dan pemain PBNJ sentiasa dijaga.

Setiausaha Kehormat PBNJ, Fahmy Yahya yang mengesahkan peletakan jawatan Tunku Ismail berkata, jawatan selaku presiden kini disandang Timbalannya, Datuk Obet Tawil yang juga Setiausaha Kerajaan Johor.
Dalam kenyataan media itu, Tunku Ismail berkata, keputusan meletak jawatan dibuat selepas mendapat persetujuan ayahandanya, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan juga hasil daripada perbincangan dengan Penasihat Undang-Undang Negeri Johor.

“Saya terpaksa mengambil keputusan itu kerana berasa jika saya terus menjadi presiden dan pada masa sama Tunku Mahkota Johor, amat sukar untuk saya mentadbir PBNJ yang sentiasa terikat dengan undang-undang dan peraturan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Oleh itu, saya membuat keputusan mentadbir PBNJ dengan menjadi Penaung, berkuatkuasa serta-merta mulai hari ini (semalam). Ini kerana mengikut hiraki protokol, saya sebagai Tunku Mahkota Johor sememangnya layak memegang jawatan sebagai Penaung PBNJ,” katanya.
Menurutnya, sebagai Penaung PBNJ, ia akan membuka lebih banyak ruang dan peluang serta kelebihan kepadanya untuk mentadbir PBNJ yang turut membabitkan aspek pengurusan kewangan, kebajikan kakitangan dan juga pemain di samping dapat membuat keputusan yang lebih tepat.

“Justeru, saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua penyokong bolasepak Johor yang bersusah payah memberi sokongan tidak terbatas selama ini. “Sokongan padu anda semua amat dihargai dan saya harapkan ia akan berterusan sampai bila-bila kerana dengan adanya sokongan anda, pasukan Johor boleh terus gah berdiri di persada tanah air.” Sebelum ini, Tunku Ismail digantung enam bulan dan denda RM18,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM selepas mengeluarkan kenyataan mengkritik mutu pengadilan dan turut mencetuskan kontroversi selepas duduk di bangku simpanan pemain ketika masih dalam penggantungan sewaktu aksi Liga Super, Johor Darul Takzim menentang Terengganu, 30 Mac lalu.

No comments:

Post a Comment