Harakahdaily
Aslani M, | 08 Apr 2013 |
GUA MUSANG: Ketika Umno masih lagi kelihatan lesu,
Pakatan Rakyat memulakan gerak kerja pilihan raya umum ke-13 malam tadi,
dengan kehadiran ribuan penduduk tempatan.
Mereka memenuhi padang Majlis Daerah Gua Musang di belakang Pasar
Raya Econjaya bagi mengikuti pengumuman bekas Ketua Pemuda Umno Gua
Musang, Abd Aziz Awang keluar daripada parti itu.
Lebih menarik lagi, fenomena yang jarang dilihat di tempat lain, bila
mana mereka yang mengikuti ceramah terdiri daripada berbilang bangsa.
Cina, India, Orang Asal dan Melayu mengikuti ceramah tersebut.
Orang Asal yang datang daripada beberapa pos termasuk Kuala Betis
bagi mengikuti ceramah berkenaan, lebih-lebih lagi dengan kehadiran
Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Hadir sama bekas Speaker, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, bekas
Adun Pasir Pinji, Su Keong Siong, Yang Dipertua PAS Gua Musang, Abdullah
Husain, Ketua Cabang PKR, Zuki Ibrahim dan pimpinan parti Pakatan
Rakyat serta Presiden R, Nazri Deraman.
Menteri Besar berkata, rakyat hendaklah mengundi calon yang
diketengahkan Pakatan bagi memastikan sebuah kerajaan baru di Putrajaya
dapat diwujudkan pada PRU-13.
“Kalau tidak ada calon PAS yang bertanding hendaklah kita pilih calon
PKR, dan kalau tidak ada calon PKR hendaklah kita pilih calon DAP.
“Manusia sekarang semakin cerdik kerana mereka mudah mendapat
maklumat yang ada di sekeliling. Melalui maklumat itu membolehkan kita
membuat pilihan yang lebih tepat dan terbaik,” katanya.
Keong Siong yang lebih dikenali sebagai Thomas Su berkata, kerajaan
Kelantan mampu kekal sehingga melewati 23 tahun kerana kepimpinannya
tidak mengamalkan budaya rasuah.
Sedangkan katanya, BN kelihatan kuat kerana mereka menguasai media
massa yang hanya memaparkan berita-berita positif sahaja mengenai
pemerintah.
Beliau yang juga anggota jawatankuasa DAP Pusat berkata, parti itu
mempertahankan perlembagaan dan menghormati hak-hak keistimewaan orang
Melayu.
“Kita menghormati perlembagaan Malaysia. Sebab itulah kita di Perak
sering melihat yang dilakukan di Kelantan dan mencontohinya,” ujarnya.
Oleh itu beliau berharap rakyat di Gua Musang hendaklah membuat perubahan bagi memastikan kawasan tersebut bukan lagi kubu Umno.
Katanya, semua pihak hendaklah berusaha keras memastikan matlamat untuk melangkah ke Putrajaya menjadi kenyataan.
Abd Aziz pada ucapan sulung selepas muncul kali pertama di pentas PAS
memberitahu beliau tidak mampu lagi bertahan dalam Umno kerana banyak
masalah yang melanda parti itu.
“Pemimpin Umno tidak berminat untuk bercakap soal agama. Maka tidak
hairanlah kita melihat pelbagai masalah menimpa pemimpin Umno sekarang.
Begitu juga soal ekonomi yang hanya dipertahankan bagi kepentingan diri
dan keluarga sahaja,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment