Tuesday, April 30, 2013

Untuk kegemilangan, Kepala Batas mesti menang - Presiden PAS

Harakahdaily 

Mohd Sabri Said, 30 Apr 2013


(Presiden PAS berucap di Kepala Batas mengajak semua bekerja keras bagi memastikan kegemilangan PAS)

KEPALA BATAS: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mahu PAS mengambilalih Parlimen Kepala Batas daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihanraya Umum ke 13 ini untuk mengembalikan kegemilangan PAS sepertimana di awal penubuhanya dulu.

Kepala Batas bagi PAS adalah satu lokasi yang sukar dipadamkan kerana di sinilah perbincangan bermula bagaimana untuk wujudkan PAS setelah Umno gagal melaksanakan tanggungjawab menjaga hak Islam pada tahun 1951.

"Kemenangan Kepala Batas nanti merupakan kemenangan untuk Islam.  Dulu Kepala Batas merupakan tempat lahirnya PAS apabila pendukung Islam berkumpul mencari jalan bagaimana untuk mengwujud dan mengerakkan Islam agar lebih terurus tidak sebagaimana yang dibuat oleh Umno ketika itu," ujarnya ketika berucap di majlis Hi Tea di Kampung Padang Benggali, Teluk Air Tawar, Buttwrworth semalam.

Menurut beliau lagi, hasrat gerakan  itu mesti diiringi gerak kerja yang bersungguh kerana PAS dari dulu belum pernah menang di Parlimen Kepala Batas apatah lagi ia ditandingi oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi iaitu cucu kepada Abdullah Fahim yang juga turut serta dalam gerakan penubuhan awal PAS.

Apabila penubuhanya, PAS berhadapan dengan onak dan duri yang berpanjangan sehinggalah sekarang.

(Anak muda membuat konvoi bermotor sambil membawa bendera PAS)

Bagi mencapai kamatangan sepertimana sekarang PAS terpaksa pula mengalami kehilangan beberapa orang kepimpinan samada yang meninggal dunia atau lari meninggalkan perjuangan.

Maka, lahirlah satu lebel yang mengatakan PAS parti kampungan yang tidak boleh ke mana sebaliknya berlegar untuk berdakwah serta 'syok sendiri' sahaja.

Tetapi sambung beliau, PAS kini nyata jauh meninggalkan apa yang dikatakan oleh kepimpinan Umno.

Ia sudah sebaris dengan gerakan Islam dunia cuma di Malaysia ia diremehkan oleh pucuk pimpinan pentadbiran Malaysia.

"Biarlah kepimpinan Umno dan gabungan mereka perkecilkan peranan dan imej PAS tetapi kita disanjung di mata luar.  Oleh itu, seandainya Pakatan Rakyat menang merampas Putrajaya, PAS yakin kita akan semakin disanjungi, " katanya yang juga mantan Menteri  Besar Trengganu.

Mengingati sejarah kemenangan Kelantan dan Trengganu selepas zaman penjajah ujarnya, PAS berjaya muncul sebagai sebuah negeri yang agak ke hadapan namun jatuh kembali apabila ia dikepung oleh Umno yang tidak senang dengan petadbiran yang dibawa.

Inilah terangnya, wajah sebenar Umno, mereka tidak senang duduk bila ada kerajaan yang lebih berjaya membawa perubahan.

Ada sahaja rekaan dan ciptaan jahat yang membuatkan rakyat termakan sehinggalah dua buah kerajaan Islam tumbang beberapa tahun kemudian, jelas Ustaz Hadi.

Berucap sama dimajlis berkenaan ialah calon PKR Dewan Undangan Negeri (Dun), Telor Air Tawar, Norhayati Jaafar, Calon PAS Parlimen Kepala Batas, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudin, Calon Penaga, Rosidi Husain dan tokoh agamawan, Ustaz Zakaria Haji Ahmad.

No comments:

Post a Comment