Monday, April 15, 2013

Wan Zack Haikal hebat di kelab baru Jepun

myMetro 15 April 2013
Daripada Aziman Rosdi

Okinawa, Jepun: Impak diberikan pemain muda negara Wan Zack Haikal Wan Noor pada penampilan pertama bersama kelab barunya, FC Ryukyu kelmarin menjadi bualan hangat peminat bolasepak kelab liga divisyen tiga Jepun itu.
Ternyata aksi yang dipamerkan bekas pemain Harimau Muda berusia 22 tahun itu ketika membantu FC Ryukyu menewaskan Sagawa Printing SC 2-1 tidak mengecewakan.

Naib Presiden Eksekutif FC Ryukyu Sotaro Shinoda berkata, ramai peminat mula berbicara mengenai persembahan Wan Zack Haikal menerusi laman web rasmi kelab serta medium internet lain seperti Facebook.
“Ramai peminat terkejut apabila Wan Zack Haikal menyatakan dia tidak berpuas hati dengan permainannya kerana beraksi kurang baik sedangkan peminat semua menganggap dia beraksi dengan begitu baik,” katanya.

Wan Zack Haikal, pemain kelahiran Pahang yang mengikat kontrak selama dua tahun dengan FC Ryukyu, beraksi selama 80 minit pada penampilan sulung di Stadium Okinawa Athletic kelmarin.

Meskipun tidak menjaringkan gol namun gerakannya di bahagian sayap kiri banyak memberikan masalah kepada pertahanan lawan yang kerap mengasarinya sehingga dia terpaksa dikeluarkan kerana mengalami sedikit kesakitan di pangkal paha.
FotoWAN ZACK (kiri) pamer aksi menakjubkan walau gagal jaring gol.
Seorang lagi pemain negara, Nazirul Naim Che Hashim tidak diturunkan kerana dilanda kecederaan buku lali kanan ketika latihan.

Aksi Wan Zack Haikal itu bukan saja memikat hati peminat kelab yang berpangkalan di Okinawa itu malah turut mendapat liputan akhbar tempatan seperti Okinawa Times dan Ryukyu Shimbo semalam.
Menurut Shinoda, selepas permulaan yang baik dipamerkan Wan Zack Haikal kini peminat kelab itu mengharapkan sesuatu yang lebih baik daripadanya.

“Ramai peminat tidak menyangka dia boleh bermain dengan baik pada perlawanan pertama dan sekarang mereka yakin dia boleh tampil lebih hebat jika mendapat keserasian bersama pemain lain,” katanya.

Kemenangan ke atas Sagawa itu melonjakkan FC Ryukyu ke tangga keempat dengan mengumpul 11 mata selepas enam perlawanan.

No comments:

Post a Comment