Sunday, May 26, 2013

16 murid rentung

myMetro

Islamabad: Sekurang-kurangnya 16 murid dan seorang guru mati terbakar di timur Pakistan semalam apabila sebuah tong gas meletup dalam bas yang membawa mereka ke sekolah.

Pegawai polis Mohammed Rasheed berkata, tujuh kanak-kanak juga cedera dalam kejadian itu yang berlaku di pinggir bandar Gujrat.
“Ini kejadian yang menyayat hati. Menurut maklumat, sekurang-kurangnya 17 kanak-kanak rentung.
“Bas itu terbakar selepas meletup. Kami membawa semua mangsa ke hospital berhampiran,” katanya.

Gujrat terletak kira-kira 200 kilometer ke tenggara Islamabad, ibu negara Pakistan.

Kemalangan berlaku selepas dua serangan militan yang meragut sembilan nyawa di dua kawasan berasingan di barat laut negara itu.

Dalam satu kejadian, sekumpulan lelaki bersenjata berat menyerang sebuah konvoi polis di Mattani, 20 kilometer ke selatan Peshawar, menyebabkan enam anggota terbunuh dan tujuh lagi cedera, kata pegawai kanan polis, Shafiullah Khan.

Dalam serangan kedua pula, seorang pengebom berani mati berjalan ke arah kenderaan milik seorang tokoh agama Afghanistan di Peshawar sebelum meletupkan dirinya, menyebabkan tiga terbunuh.

Tokoh agama itu, Haji Hayatullah, terselamat kerana berada di masjid berhampiran. - AP

No comments:

Post a Comment