Sunday, May 26, 2013

MIC bincang cadagan bergabung dengan PPP, IPF, Makkal Sakhti

May 26, 2013
KUALA LUMPUR, 26 Mei — MIC akan duduk semeja dengan parti-parti politik mewakili kaum India atau mempunyai ramai anggota dari kaum itu seperti Parti Progresif Penduduk (PPP), Barisan Kemajuan India Malaysia (IPF) dan Makkal Sakthi dalam waktu terdekat untuk membincangkan kemungkinan kesemua parti berkenaan bergabung.

Presiden MIC Datuk Seri G.Palanivel berkata penggabungan tersebut bertujuan membolehkan kerjasama terjalin di antara kesemua parti politik yang terlibat demi kepentingan dan pembangunan masyarakat India di Malaysia bagi menghadapi  pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Cadangan untuk menggabungkan kesemua parti ini dibangkitkan pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC Jumaat lalu.
“Cadangan berkenaan akan saya kongsi bersama parti politik mewakili kaum India yang lain dalam waktu terdekat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Penulis Tamil Malaysia Ke-51 di sini, hari ini.

Palanivel yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar menjelaskan cadangan tersebut perlu dibincangkan dulu bersama parti-parti politik terlibat sebelum sebarang keputusan diambil.

Mengenai Persatuan Penulis Tamil Malaysia, Palanivel berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju memberikan peruntukan berjumlah RM100,000 kepada persatuan berkenaan.
“Buat masa ini persatuan ini hanya menunggu peruntukan tersebut mendapat kelulusan,” katanya.

Setiausaha persatuan tersebut A.Gunanathan berkata persatuan akan mengadakan sambutan jubli emas pada tahun ini.
Persatuan Penulis Tamil Malaysia mempunyai 1,500 anggota di seluruh negara.  – Bernama

1 comment:

  1. Dey!!!!!hindraf tada campor ka? Itu autamoorti tada ajak join sama ka? Itu macam kalu...nasib india serupa itu macam juga! Maju tada,mundur ada sikit juga!

    ReplyDelete