Saturday, May 4, 2013

DAP sangsi jumlah pengundi: 527 orang berusia 80 tahun ke atas.

Wartawan Sinar Harian
4 Mei 2013
Sangsi jumlah pengundi
Hian Wah menunjukkan senarai nama pengundi berusia lebih 80 tahun yang didakwanya sebagai tidak logik.
SERI KEMBANGAN – Calon DAP kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah mendakwa sangsi dengan jumlah pengundi berusia lebih 80 tahun di kawasan ditandinginya.

Beliau mendakwa berdasarkan maklumat diperoleh daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 527 daripada 37,000 senarai pemilih berdaftar adalah mereka yang  berusia 80 tahun ke atas.

Katanya, usia paling tua pemilih berdaftar masih direkodkan dalam senarai itu berusia 105 tahun.

Jelasnya, beliau mengesyaki sesuatu yang tidak logik kerana berpendapat ramai daripada senarai nama itu sudah meninggal dunia.

Hian Wah berkata, beliau kecewa meski isu sudah banyak kali dibangkitkan namun senarai nama yang bersih dan tepat masih gagal dikeluarkan SPR.

“Kita sangsi kerana secara purata golongan lelaki di negara ini hanya hidup sehingga berusia 70 tahun manakala perempuan berusia 75 tahun.  Saya minta SPR beri penjelasan berhubung perkara ini, mengapa mereka tidak kemas kini senarai nama sedangkan data kematian boleh diambil daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan pihak polis,” katanya.

Hian Wah berkata, apa yang dibimbangi identiti nama pemilih yang sudah meninggal dunia disalah guna pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Jelasnya, rakyat sudah tiga kali lancar kempen Bersih mendesak pilihan raya yang bersih. Justeru beliau mendesak SPR melaksanakan pilihan raya secara bersih 5 Mei ini.

No comments:

Post a Comment