KUALA LUMPUR, 30 Mei — Sebarang perdebatan mengenai masa depan
Datuk Seri Najib Razak akan ditentukan oleh bekas perdana menteri paling
lama berkhidmat Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) dan Tun Daim Zainuddin, kata wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin.
Menurut
Kadir lagi, Dr Mahathir dan Daim telah bertemu di Putrajaya beberapa
hari selepas pilihan raya umum 5 Mei yang menyaksikan Barisan Nasional
(BN) gagal mendapatkan majoriti tradisi dua pertiga di Parlimen.
“Dr Mahathir, Daim dan beberapa blogger bebas akan menjadi penentu
sama ada masa depan Mohd Najib sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri
akan diperdebatkan secara terbuka,” kata bekas ketua pengarang kumpulan
News Strait Times Press semasa era pentadbiran Dr Mahathir dalam
tulisan di blognya yang bertajuk, “Kesan Positif Sekatan dan Imbangan
Selepas PRU13” hari ini.
“Daim telah menemui Dr Mahathir di Putrajaya beberapa hari selepas
PRU 5 Mei di mana mereka dikatakan telah membuat “review” keputusannya
serta tindakan jangka pendek dan sederhana yang akan mereka lakukan,”
tambah beliau lagi.
Bekas perdana menteri Tun Abdullah Badawi terpaksa meletakkan jawatan
setahun selepas Pilihan Raya 2008 apabila BN buat pertama kalinya
hilang majoriti tradisi dua pertiga di Parlimen dan lima negeri seperti
Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.
Kadir turut mengatakan para petugas yang mengendalikan “Bilik Perang”
(War Room) BN perlu mengakui secara ikhlas, terbuka dan telus bahawa
cakap besar mereka telah memakan diri dan kalah kepada Abdullah dan
budak-budak tingkat empatnya.
“Apa-apa pun, Abdullah kini boleh mengangkat tinggi kepala kerana
tuduhan bahawa prestasi beliau dalam PRU 2008 hambar tidak lagi tepat
sebab pencapaian Mohd Najib lebih teruk walaupun disokong oleh Dr
Mahathir dan Daim.
“Melihat kepada pencapaian Mohd Najib, saya sendiri berasa terlebih mengkritik Abdullah selepas PRU 2008,” katanya.
Bekas ketua pengarang kumpulan akhbar milik Umno itu turut mengakui,
rakyat Malaysia kini sudah tidak mahu lagi kerajaan yang membolot kerana
sudah merasakan kebaikan sekatan dan imbangan di Parlimen dan Dewan
Undangan Negeri (DUN).
“Pembahagian semula kuasa sedang berlaku. Keengganan majistret
merestui permohonan polis untuk menahan reman tiga ahli dan aktivis
politik pembangkang, iaitu Chua Tian Chang aka Tian Chua, Tamrin Abdul
Ghafar dan Haris Ibrahim adalah contoh pembahagian semula kuasa itu.
“Lagipun, dengan semakin banyaknya kes kematian ketika reman, Ketua
Polis Negara baru, (Tan Sri) Khalid Abu Bakar dan Menteri Dalam Negeri
yang baru, (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi wajiblah lebih berhati-hati
menggunakan kuasa reman,” katanya.
Chua, Tamrin dan Haris didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 semalam
bersama-sama dengan Hishamuddin Rais dan aktivis mahasiswa Safwan Anang.
Kesemua mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan ikat jamin
sebanyak RM 5,000. Bagaimanapun Safwan menolak untuk dijamin dan
sekarang dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh.
Sebelum itu, Adam Adli Abdul Halim didakwa di bawah akta sama dan akan dibicarakan dengan kelima-lima pada 2 Julai akan datang.
Dalam Pilihan Raya 2013, BN yang berkempen untuk menjaga keselamatan
dan keamanan, kalah tujuh lagi kerusi Parlimen dan 71 kerusi DUN kepada
PR.
BN dan PR menang 133 dan 89 kerusi Parlimen, termasuk 275 dan 230 kerusi DUN dalam Pilihan Raya 2013.
Walau bagaimanapun, BN berjaya meningkatkan penguasaan kerusi
Parlimen mereka dari 79 pada 2008 kepada 89 pada pilihan raya 5 Mei
lalu.
Terdapat hampir 2.5 juta pengundi kali pertama daripada 13.3 juta
pengundi layak mengundi dalam Pilihan Raya 2013 yang menyaksikan
peratusan keluar mengundi lebih 85 peratus, paling tinggi dalam sejarah
Malaysia.TMI
No comments:
Post a Comment