KUALA LUMPUR, 17 Mei — Umat Islam di Malaysia diberitahu haram
bagi mereka untuk menderhaka dan memerangi pemerintah seperti membantah
tanpa mengikut saluran yang sah kata khutbah Jumaat hari ini.
Dalam
khutbah yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
itu, umat Islam juga diingatkan perintah mentaati pemerintah termasuk
mentaati para petugas yang menjaga keamanan dan keselamatan seperti
pasukan polis.
“Menderhaka kepada pemerintah dan memerangi mereka, maka hukumnya
haram,” tulis khutbah bertajuk “Guru Malaysia: Satu Aspirasi Satu
Agenda” yang boleh didapati di laman sesawang JAKIM hari ini.
“Termasuk dalam perbuatan derhaka ialah membantah tanpa mengikut
saluran yang sah keputusan pemerintah yang dibuat berasaskan kuasa yang
diberikan kepada mereka dalam menjalankan urusan pentadbiran negara.”
Pakatan Rakyat (PR) telah menganjurkan beberapa siri perhimpunan
selepas pilihan raya digelar “Black 505” diketuai oleh Datuk Seri Anwar
Ibrahim bagi membantah kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan
Raya 2013 yang mereka dakwa kerana penipuan dan kecurangan pilihan raya
dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Hari ini Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad didakwa kerana
dituduh gagal untuk memberikan notis 10 hari behubung perhimpunan
pertama “Black 505” di stadium Kelana Jaya, Rabu lepas.
“Berasaskan kepada dalil-dalil yang jelas daripada al-Quran dan
hadith Rasulullah SAW, para ulama telah bersepakat mengatakan taat
kepada pemerintah adalah fardu kepada setiap Muslim manakala menderhaka
merupakan satu dosa besar.
“Bantahan yang berterusan kepada pemerintah negara yang telah
terbukti mampu memelihara agama Islam dan keamanan dibimbangi hanya akan
mengundang bala dan murka dari Allah SWT,” tambah JAKIM lagi.
PR telah mengatakan akan meneruskan perhimpunan “Black 505” dengan
salah satu daripadanya akan diadakan di Negeri Sembilan dan tiga
perhimpunan di beberapa negeri — Kedah, Terengganu dan Melaka.
Negeri-negeri lain yang telah diadakan perhimpunan adalah Pulau Pinang, Johor, Perak dan Pahang.
Walau bagaimanapun, PR baru-baru ini menjauhkan diri dari desakan
untuk demonstrasi jalanan bagi membantah keputusan Pilihan Raya 2013
tetapi mengatakan akan meneruskan perhimpunan di tempat tertutup bagi
memberikan peluang kepada pengundi untuk “menyuarakan kemarahan” mereka
terhadap tuduhan kecurangan pilihan raya 5 Mei lalu.
Anwar mengatakan desakan untuk PR menganjurkan demonstrasi jalanan
bagi menjatuhkan kerajaan BN datang dari NGO dan bukan pendirian rasmi
gabungan tersebut.
“Ini hanyalah cadangan dan tidak pernah dibangkitkan kepada
kepimpinan dan bukan sesuatu yang akan dipertimbangkan oleh kepimpinan,”
katanya.
Koordinator Asalkan Bukan Umno (ABU) Haris Ibrahim sebelum ini
mengatakan pengundi seharusnya menjatuhkan BN melalui demonstrasi
jalanan.
PR berulang kali mengatakan Pilihan Raya 2013 telah dicemari dengan penipuan besar-besaran.
Buat apa mengunakan Hadith palsu sebagai hujah untuk membodek. Ini kerja bidaah yang sangat nyata dan keji.Sepatutnya Jakim mengingatkan umat akan balasan neraka jahanam bagi mereka yang bersekongkol dengan penipuan dan menyanjung kerajaan zalim. Gunakan khutbah untuk mengampu akan mengakibahkan umat Islam meluat, sama seperti meluatnya mereka kepada media fitnah.
ReplyDelete'taat kepada pemerintah adalah fardu kepada setiap Muslim manakala menderhaka merupakan satu dosa besar'.
ReplyDeletemasukkan benda2 ni dlm undeng2 syariah.