Thursday, May 23, 2013

Kit Siang: Pakatan mulakan pelan PRU14 untuk Sabah

May 23, 2013
KUALA LUMPUR, 23 Mei — Pakatan Rakyat (PR) sedang menyediakan pelan tindakan untuk memulakan kempen “susulan” di Sabah selepas mencatatkan rekod kemenangan di kubu kuat Barisan Nasional (BN) di Malaysia Timur pada pilihan raya 5 Mei.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu mengatakan, pakatan pembangkang itu sedang sibuk menganalisa keputusan Pilihan Raya 2013 dimana ia merampas 10 kerusi dari gabungan pemerintah BN itu menjadikan mereka mempunyai 11 kerusi daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah.
“Pemimpin DAP dan PR sedang menganalisa keputusan pilihan raya umum Sabah untuk merangka pelan tindakan bagi memulakan kempen susulan bagi memenangi hati majoriti rakyat Sabah, kerana pilihan raya seterusnya akan menjadi dua perjuangan untuk UBAH — di Putrajaya dan juga kerajaan negeri Sabah,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

“Di dalam pilihan raya umum yang baru diadakan pada 5 Mei, Barisan Nasional sudah tentu hilang majoriti dua pertiga di dalam Dewan Undangan Negeri Sabah sekiranya kita benar-benar ada sistem ‘satu orang, satu undi, satu nilai’,” tambah beliau lagi.
Beliau juga memerhatikan 55.78 peratus daripada jumlah undi keseluruhan untuk 60 kerusi DUN Sabah, iaitu 427,890 undi, BN sepatutnya hanya berjaya mendapat 34 kerusi bukannya memenangi 48 kerusi, iaitu 80 peratus kerusi DUN.

Parti PR — PKR, DAP dan PAS — yang bertanding di kesemua 60 kerusi DUN mendapat 248,185 undi atau 32.36 peratus daripada jumlah undi keseluruhan, dan sepatutnya memenangi 20 kerusi DUN bukannya cuma 11 (iaitu 18.33 peratus daripada 60 kerusi).

“STAR yang meletakkan 47 calon DUN, memenangi satu kerusi, dengan 5.63 peratus daripada jumlah undi keseluruhan sementara SAPP bertanding di 41 kerusi DUN, dengan 28,305 undi atau 3.69 peratus daripada jumlah undi keseluruhan, tidak memenangi sebarang kerusi.
“Sekalipun pembangkang yang kuat dan bersemangat sudah dipulihkan di DUN Sabah selepas dua dekad ketiadaanya, dengan 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) (DAP 4 dan PKR 7) dari PR dan satu dari STAR, pilihan raya umum 5 Mei merupakan pengajaran berharga buat pembangkang di Sabah, yakin BN sudah tentu kalah lagi empat kerusi Parlimen dan lapan kerusi DUN jika tidak kerana undi pecah di kalangan calon pembangkang,” katanya.

Menurut Lim, apa yang perlu diberi perhatian di dalam keputusan pilihan raya Sabah termasuklah kekalahan besar Presiden UPKO dan Menteri Kabinet Tan Sri Bernard Dompok di kerusi Parlimen Penampang dan kemenangan tipis Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan di kerusi Parlimennya di Keningau dan kerusi DUN di Tambunan semata-mata disebabkan perpecahan undi di kalangan pembangkang.The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment