Harakahdaily, | 08 Mei 2013 |
KOTA BHARU:
Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa berkata Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Razak harus memberikan laluan kepada timbalannya Tan Sri Muhyiddin
Yassin untuk menerajui negara kerana keputusan PRU13 yang mengecewakan.
“Pada 2008, Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Puad Zarkashi dan
lain-lain pemimpin Umno telah buat kenyataan – meminta Pak Lah (Tun
Abdullah Badawi) untuk bertanggungjawab dengan kegagalan di PRU12.
"Kalau logik singkir Pak Lah ialah universal, logik yang sama perlu
dipakai pada Najib. Morally, Najib harus buka laluan untuk Muhyiddin
untuk ganti beliau sebagai Perdana Menteri,” kata Husam semalam.
Menurut Husam, Najib mencatat keputusan yang lebih teruk daripada Pak
Lah di mana BN kalah dalam undi popular kepada Pakatan Rakyat buat
pertama kalinya dan juga kehilangan tujuh kerusi parlimen kepada 133
daripada 140 daripada apa yang dicapai Pak Lah.
Husam juga menyentuh ungkapan ‘Tsunami Cina’ yang diguna Najib untuk
mencari kambing hitam atas prestasi BN yang semakin merosot.
“Isu itu dibangkitkan untuk sambung hayat politik Najib yang
terumbang-ambing dengan keputusan PRU13. Ungkapan itu juga menandakan
konsep 1Malaysianya telah gagal. Konsep itu adalah satu-satunya modal
Najib – sekarang modal ini sudah gagal, maka beliau harus berundur,”
tegas Husam.
Husam juga menolak hujah politik Najib mengenai ‘Tsunami Cina’ yang
menyebabkan kemerosotan BN kerana BN hampir-hampir kehilangan Terengganu
yang peratus undi Melayunya 95 peratus.
“Saya menolak politik perkauman dan anti-Cina. Saya yakin ada cetusan
lain untuk mengekalkan beliau (Najib) sebagai Perdana Menteri,” kata
Husam.
No comments:
Post a Comment