Tuesday, May 7, 2013

Pakatan kumpul bukti penipuan, desak SPR siasat


(Oleh Norutul Ilham)

SHAH ALAM 7 MEI: Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali berkata, Pakatan Rakyat sedang mengumpul bukti kegagalan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengendalikan pilihan raya umum ke-13.

Kata Azmin, satu laporan khusus berhubung penipuan dan salah laku PRU-13 akan dikeluarkan dengan kerjasama Gabungan Pilihan Raya Bebas & Adil (Bersih 2.0)

"Kita akan serahkan dengan bukti. Ini bukan perkara baru. Sebelum ini sudah ada ratusan bukti, namun SPR gagal selesaikan," katanya dalam sidang media di pejabat ahli parlimen Shah Alam, hari ini.

Azmin menjelaskan, Pakatan Rakyat menerima banyak laporan dan makluman daripada pengundi sendiri ketika calon melawat tempat membuang undi.

"Ada pengundi yang saya sendiri temui mengatakan nama mereka telah pun ditanda sebagai sudah mengundi. Daripada maklumat yang kita terima, berlaku di seluruh negara.

"Ia turut berlaku di kawasan Meru, Shah Alam, Sekinchan dan Ijok. Ini kita tak boleh terima," tegas Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak.

Justeru kata Azmin, SPR wajib mengambil tindakan segera dan respon kepada setiap laporan yang dibuat kerana Pakatan Rakyat akan turut menyertakan bukti dalam pendedahan.

No comments:

Post a Comment