Dalam usaha menawan Putrajaya,PAS gesa anak perantau pulang pertahan Kelantan
KUALA
LUMPUR, 2 Mei — Dalam keghairahan berkempen menawan Putrajaya, Datuk
Nik Abdul Aziz Nik Mat menggesa anak perantau Kelantan di Kuala Lumpur
supaya mempertahankan negeri Kelantan untuk terus diperintah parti Islam
itu selepas pilihan raya 5 Mei ini.
Mursyidul Am PAS itu juga berharap semua warga Kelantan pulang ke
negeri tersebut pada hari mengundi dan menunaikan tanggungjawab mereka
dalam usaha untuk menawan Putrajaya.
Dalam ceramah yang diadakan di padang Kelab Sultan Sulaiman Kampung
Baru semalam, sebuah perkampungan Melayu bersejarah ditengah-tengah ibu
kota, dua pemimpin utama Kelantan iaitu Menteri Besar sementara Datuk
Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Speaker dewan undangan negeri (DUN) Kelantan
Datuk Nassuruddin Daud hadir bagi menyampaikan amanat.
“Kita akan mengundi pada 5 Mei, selepas mengundi kita akan membentuk
kerajaan, dan bukan hanya kerajaan, tetapi berdasarkan ajaran-ajaran
Nabi Muhammad saw ... Ingat ini supaya ia tidak menjadi sukar untuk anda
kembali ke Kelantan,” kata Nik Aziz dihadapan ribuan orang ramai yang
hadir semalam.
Selain kedua-dua pemimpin Kelantan itu, turut hadir adalah calon PAS
bagi kerusi Parlimen Titiwangsa Ahmad Zamri Asa’ad Khuzami, Pesuruhjaya
PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Nor Mohamad dan pelakon Mustafa Kamal.
Nassuruddin menaikkan semangat majoriti warga Kelantan yang hadir
dengan ucapan penuh bersemangat dengan menyatakan keyakinan Pakatan
Rakyat (PR) semakin hampir ke Putrajaya, tetapi pada masa sama Kelantan
perlu dipertahankan.
“Kalau tiket kapal terbang habis, naik kereta atau pun bas dan kalau
tiket bas habis semua berpakatlah tumpang kereta kawan-kawan lain...
kalau tidak ada juga, jalan kaki pun jalan kakilah.
“Yang penting kita pastikan negeri Kelantan dipertahankan dan
ditadbir oleh parti Islam PAS,” kata Nassuruddin yang disambut dengan
sorakan ribuan hadirin yang hadir.
Nassuruddin kemudiaan mengingatkan anak perantau supaya tidak
terpengaruh dengan janji dan kempen oleh Barisan Nasional (BN), serta
menuduh kerajaan pusat sebagai zalim kerana menindas rakyat di Kelantan
terutamanya dalam pemberian royalti minyak.
Dalam pada itu, Nassuruddin juga mahu rakyat Kelantan kali ini
menguburkan karier politik Datuk Ibrahim Ali di Pasir Mas kerana sudah
mengkhianati parti Islam tersebut walaupun menang bertanding pada 2008
atas tiket PAS.
Sebelum itu, orang ramai yang hadir bersembahyang hajat dan
bermunajat sementara menanti ketibaan pemimpin utama mereka ke majlis
itu.
Kemuncak program semalam adalah bacaan ikrar yang diketuai oleh
pelakon terkenal Mustafa, dimana dalam ikrar tersebut menyatakan janji
untuk terus mengekalkan kerajaan Islam PAS terus diperintah dan
mengamalkan prinsip negara Islam yang sebenar.
Negeri Kelantan adalah sinonim dengan PAS, dimana parti Islam itu
telah memerintah negeri tersebut melalui dua tempoh panjang: 1959-1977,
dan sejak 1990 hingga sekarang.
Lebih 1.3 juta kenderaan dijangka bergerak sepanjang Lebuhraya
Utara-Selatan semasa Pilihan Raya 2013, peningkatan sebanyak 20 peratus
daripada 1.1 juta kenderaan pada hari-hari biasa.TMI
No comments:
Post a Comment