BALING - Pengerusi
Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya Kedah Datuk Tajul
Urus Md Zin hari ini meluahkan rasa kesal atas tindakan Rektor Kolej
Universiti Insaniah (Insaniah) Datuk Dr Jamil Osman yang meletak jawatan
secara mendadak.
Katanya sekalipun
kerajaan negeri kini diteraju Barisan Nasional (BN), Jamil sepatutnya
lebih profesional dan mengetepikan perbezaan politik demi menangani
masalah yang dihadapi Insaniah.
"Pagi tadi saya berkesempatan melawat ke Kampus Mergong, Alor Setar dan bertemu dengan kesatuan pelajar.
Ada dua rungutan utama
iaitu berhubung kelayakan pensyarah dan juga kemudahan asrama serta
surau yang perlu ditambah baik, manakala sebelah petang saya berkunjung
ke kampus di Kuala Ketil di sini.
"Ada
beberapa perkara yang perlu dibincangkan dengan rektor, tetapi saya
dimaklumkan tadi bahawa rektor sudah menghantar surat peletakan jawatan
pada 20 haribulan lalu.
Saya juga agak kecewa,
sepatutnya rektor juga ada bersama hari ini," katanya ketika ditemui
media selepas melawat kampus Insaniah di Kuala Ketil.
Menurut Tajul Urus,
beliau dimaklumkan oleh pihak pentadbiran Insaniah peletakan jawatan
Jamil berkuat kuasa pada hari beliau menghantar surat iaitu Isnin lepas.
Tajul Urus
dipertanggungjawabkan Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir untuk
melihat masalah yang dihadapi Insaniah serta mengemukakan penyelesaian
yang menjamin kebajikan pelajar dan warga kerja Insaniah.
Antara masalah berkenaan
ialah dakwaan warga kerja Insaniah bahawa pihak pengurusan menyeleweng
kerana gagal melakukan caruman kepada pihak ketiga walaupun pemotongan
gaji dicatat pada slip gaji mereka.
Kerajaan negeri dan
Insaniah juga terpaksa membayar pinjaman bank sebanyak RM46 juta setahun
bagi pembinaan kampus induk di Kuala Ketil.
Kampus induk itu juga tidak mempunyai kemudahan asrama yang menyukarkan kehidupan pelajar yang terpaksa berpindah-randah.
BN Kedah mewarisi masalah itu yang timbul ketika Kedah diteraju Pas sejak 2008 hingga Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei lalu.
Mengulas pelantikan
rektor baru, Tajul Urus berkata seorang pentadbir akan ditempatkan di
situ sementara menunggu pelantikan baharu oleh Lembaga Pengarah
Insaniah.
Mengenai hasil
lawatannya hari ini, beliau berkata ada beberapa perkara yang
dibangkitkan termasuk mengenai kursus yang ditawarkan dan bilangan
pelajar.
"Kita akan minta laporan
menyeluruh daripada Insaniah dan akan berjumpa dan berbincang dengan
Menteri Besar untuk buat cadangan dan keputusan.
Apa yang penting, kita mahu Insaniah sama seperti kolej-kolej swasta terkemuka yang lain," katanya.
Beliau tidak menolak
akan berlaku rombakan terhadap program yang ditawarkan Insaniah jika
tindakan itu memberi manfaat kepada Insaniah.
Insaniah kini mempunyai
6,000 pelajar dengan 1,500 daripadanya belajar di kampus Kuala Ketil
yang mula dibuka awal tahun ini, manakala selebihnya masih berada di
kampus lama di Mergong.
- Bernama
- Bernama
No comments:
Post a Comment