KUALA
LUMPUR, 28 Mei — Suatu rombakan akan dilakukan dalam pentadbiran
Selangor dalam masa terdekat ini dan akan menyaksikan Setiausaha Agung
PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dibawa masuk ke dalam pentadbiran
negeri dan dilantik sebagai pegawai yang bertanggungjawab menjaga
hubungan politik parti komponen Pakatan Rakyat (PR), lapor Sinar Harian
hari ini.
Akhbar itu turut mengatakan menurut sumber ini adalah antara punca
kelewatan senarai Exco Selangor dimuktamadkan sehingga menimbulkan
keresahan rakyat selepas PR memenangi Pilihan Raya 2013.
Sumber juga memberitahu akhbar berbahasa Melayu itu, persetujuan
antara Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar
Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah dicapai dalam satu
perbincangan minggu lalu.
“Mungkin Rabu akan bincang rombakan kecil itu, Saifuddin (gambar)
akan jaga hal hubungan politik di Selangor serta untuk memantapkan
Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14),” kata sumber kepada Sinar
Harian.
“Beliau ditugaskan untuk gerakkan mobilisasi jentera ke kawasan
luar bandar bagi mengatasi Barisan Nasional (BN) yang bersungguh-sungguh
nak rampas Selangor semula pada PRU14 nanti,” tambah sumber itu lagi.
Saifuddin dikatakan akan berperanan memberi wajah baru kepada
Selangor supaya imej negeri ini lebih dikenali sebagai sebuah negeri PR
dan bukan lagi kubu kuat BN.
“Bukan saja ‘rebranding’ itu kepada
kakitangan awam negeri bahkan kalau boleh bangunan kerajaan dan
infrastuktur di Selangor pun dicat dengan warna lain, bukan lagi warna
biru,” katanya.
Dalam pada itu katanya, rombakan ini juga bertujuan untuk membuat
penambahbaikan terhadap pembangunan infrastuktur dan pelbagai program
kebajikan yang masih tertangguh pada penggal lalu dengan membelanjakan
rizab negeri yang tersimpan RM2.65 bilion.
“Penggal kali ini Abdul Khalid pun sudah berjanji akan belanjakan
wang rizab Selangor untuk gerakkan banyak lagi program kebajikan
rakyat,” katanya.
Dalam Pilihan Raya 2013, Saifuddin tewas di kerusi Parlimen Kulim
Bandar Baru, Kedah di tangan Datuk Aziz Sheikh Fadzir, bekas naib ketua
pemuda Umno.
Sebelum itu Saifuddin merupakan anggota Parlimen Machang, Kelantan dalam penggal lalu.
Dalam ucapan semasa kongres nasional ke 9 PKR Ahad lalu, Abdul Khalid
mengakui kelemahan tidak bijak dalam berpolitik, justeru mengumumkan
akan menubuhkan satu “political liaison” di dalam pejabat menteri besar.
Walaupun Abdul Khalid dilantik sebagai menteri besar untuk penggal
kedua, kontroversi tercetus apabila Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin
Ali difahamkan turut mengintai jawatan itu.
“Rakan-rakan memberitahu saya, salah satu kelemahan Tan Sri adalah kerana tidak pandai dalam permainan politik.
“Untuk itu, saya terima ... saya terima,” kata Abdul Khalid.
Menteri besar Selangor itu berkata penubuhan “political liaison” akan
mengendalikan hal ehwal politik dalam negeri dan mereka yang dilantik
akan terdiri daripada individu yang pakar dalam lapangan tersebut.
Dalam majlis sama, Ketua Umum PKR Anwar dalam ucapan penutupnya
mengumumkan Saifuddin akan diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan
“political liaison” yang bakal ditubuhkan dalam masa terdekat itu.
Dalam Pilihan Raya 2013, PR memenangi 44 daripada 56 kerusi Dewan
Undangan Negeri (DUN) Selangor, meningkat daripada 36 kerusi yang
diperoleh pada 2008.
PKR menang 14 kerusi berbanding DAP dan PAS yang masing-masing
memperoleh 15 kerusi. Barisan Nasional (BN) pula memenangi 12 kerusi.
Saifuddin akan salurkan dana khas pada puak PKR yang tak cukup makan.
ReplyDeleteMengamuklah UMNO/BN nanti sebab hajat nak berjoli katak (jika BN tawan Selangor) dengan rezab 2.67 billion yang TSKI simpan untuk negeri Selangor tak kesampaian! Lepas ni mungkin akan ada demo oleh UMNO atau NGO mesra UMNO untuk halang PR belanjakan duit untuk rakyat dengan alasan untuk elakkan membazir dan rizab tunai akan susut!....he he he!
ReplyDelete