Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution akan bertemu Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim bagi mengetahui status pelantikan dan perinciannya sebagai pegawai perhubungan politik di negeri itu.

Saifuddin berkata beliau hanya akan mengetahui perkara itu serta bidang tugas berkenaan peranannya selepas bertemu Khalid, minggu depan.

"Saya akan berjumpa MB minggu depan untuk dimaklumkan berkenaan status pelantikan, bidang tugas, dan tanggungjawab.

"Sehingga kini belum ada apa-apa makluman (terperinci berkenaan bidang tugas)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Kongres Nasional PKR ke-9 hujung minggu lalu mencadangkan supaya Saifuddin diamanahkan berperanan sebagai pegawai perhubungan politik di negeri itu.

Antara peranannya meliputi usaha merapatkan jurang antara PKR dan parti politik lain di Selangor dan memastikan urusan politik dipisahkan daripada pentadbiran negeri dan urusan perniagaan syarikat, kata Anwar.

Bagaimanapun, cadangan pelantikan itu mendapat reaksi PAS Selangor apabila ADUN Chempaka dari PAS, Iskandar Samad turut menuntut satu jawatan diberikan kepada wakil PAS "untuk memantau urusan-urusan harian di Selangor".

"Dengan ura-ura perlantikan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution sebagai "political liaison" atau pegawai perhubungan politik di Pejabat Menteri Besar Selangor, seorang naib presiden PAS juga mesti ditugaskan untuk memantau urusan-urusan harian di Selangor

"Pimpinan PAS terutamanya pimpinan tertinggi parti mesti memberi tumpuan yang sama kepada Selangor sepertimana tumpuan yang mereka berikan kepada Kelantan, Terengganu dan Kedah.," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ditanya berhubung reaksi PAS Selangor itu, Saifuddin enggan mengulasnya selagi belum bertemu Khalid.

"Maaf, tiada apa saya hendak komen (kerana) belum tahu hujung pangkal lagi. Tunggu sehingga saya jumpa MB," katanya.

Pada pilihan raya lalu, PAS dan DAP masing-masing memenangi 15 kerusi sementara PKR pula menguasai 14 kerusi DUN.