JOHOR
BARU, 2 Mei — Tawaran Pakatan Rakyat (PR) dalam manifesto ‘Pakatan
Harapan Rakyat’ menjadi daya penarik pengundi muda Melayu di negeri
selatan tanah air itu untuk bersama-sama menyertai ceramah gabungan
pembangkang di Larkin, malam tadi.
Ketika ditemui The Malaysian Insider, pengundi-pengundi muda
yang pertama kali mengundi pada 5 Mei depan berkata mereka sedang
membuat perbandingan antara tawaran Barisan Nasional (BN) dan PR, untuk
membuat keputusan bagi memilih pemimpin mereka dalam Pilihan Raya 2013.
“Saya datang malam ini sebab nak tahu tawaran kedua-dua belah pihak
... apa perubahan yang dijanjikan, dalam kandungan manifesto apa yang
dijanji mereka,” kata Siti, 23.
Penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang mengambil cuti seminggu
semata-mata untuk mengundi bagi PRU13 itu juga berkata, selain
menghadiri ceramah anjuran PR, beliau turut menghadiri program BN bagi
membolehkan beliau membuat penilaian sebelum membuat keputusan mengundi
satu-satu calon.
“Saya pergi ke program BN juga, dan setelah diteliti, saya dapati PR
lebih banyak membincangkan soal polisi dan janji mereka berbanding BN
yang lebih banyak mengkritik peribadi sesetengah pihak,” katanya yang
datang menaiki bas dari kediaman keluarganya di Taman Molek.
Mohd Firdaus Buniran, 25, berasal dari Benut, Pontian bagaimanapun
berkata kepada The Malaysian Insider, gambaran sebenar yang tidak
dimainkan di media arus media perdana menjadi penyebab utama untuknya
menghadiri ceramah PR.
“Saya datang nak dapatkan gambaran sebenar. Kalau dah sampai TV3 dah
kena manipulasi ... Saya juga ingin melihat tawaran-tawaran yang
diberikan PR,” katanya, yang juga mengakui merupakan penyokong BN
sebelum ini.
“Bila saya pergi sendiri, saya akan dapat gambaran sebenar,” katanya
merujuk kepada suasana ceramah dan sambutan yang diberikan kepada
pembangkang.
“Persepsi masyarakat Johor adalah kubu kuat Umno ... jadi saya datang
ke sini untuk dapatkan keadaan sebenar yang berlaku, orang sibuk
laungkan ‘Ubah’, dan saya nak tengok sendiri,” kata Nazri Bakri, 25.
Beliau yang berasal dari Simpang Renggam berkata, atas dasar
tanggungjawab, apa yang diperolehinya dalam ceramah malam itu akan turut
dikongsikan bersama keluarganya.
“Saya datang sini bukan untuk saya seorang ... saya akan terangkan kepada keluarga saya,” katanya.
Ceramah PR malam tadi di perkarangan tempat letak kereta Stadium Tan
Sri Dato Haji Hassan Yunos, yang terletak di kawasan Parlimen Johor Baru
di sini turut menyaksikan kehadiran Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar
Ibrahim, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng,
dan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, dan Ketua PKR Johor Datuk Dr
Chua Jui Meng berceramah di hadapan lebih 5,000 penduduk.
Balam ceramahnya, Dr Chua juga turut memuji penyandang kerusi
berkenaan Tan Sri Shahrir Abdul Samad, yang menurutnya mempunyai imej
yang bersih dan kredibel, namun bernaung di bawah panji-panji yang
salah.
“Shahrir itu lain dari yang lain, tetapi (beliau) dalam parti yang salah.
“Rakyat sudah tentu akan pilih parti untuk tegakkan keadilan di
Malaysia,” katanya dan menambah, tidak cukup dengan memilih Shahrir yang
mempunyai peribadi yang baik, sebaliknya penduduk di Parlimen Johor
Baru harus menukar kepada PR.
Malah, ketika sesi ceramah pemimpin utama PR juga tidak menyebut
berkenaan kelemahan Sharir, sebaliknya mereka lebih kerap mengkritik
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai isu dakwat kekal ketika
pengundian awal pasukan keselamatan tempoh hari.
PR mula mensasarkan kawasan Parlimen di Johor apabila Kit Siang
mengetuai usaha pembangkang untuk menawan Johor dengan meletakkan beliau
di kerusi Parlimen Gelang Patah menentang calon BN, Datuk Ghani Othman,
bekas menteri besar selama 18 tahun.
Malah, Salahuddin Ayub juga dikatakan bakal menjadi menteri besar
sekiranya PR berjaya menawan kubu kuat Umno itu dengan meletakkan beliau
di kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nusajaya.The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment