beliabangkit
KOTA KINABALU: Tiga pelancong Hong Kong cedera manakala seorang lagi
terselamat apabila kereta yang mereka naiki dirempuh kereta api di Jalan
Lintas berhampiran jejambat Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu
(KKIA) dekat sini, hari ini.
Dalam kejadian pukul 5.35 petang itu, kereta sewa jenis Hyundai yang
dinaiki oleh empat pelancong termasuk dua wanita dipercayai gagal
berhenti di lintasan kereta api di persimpangan ke KKIA.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Jauteh Dikun berkata kesemua mangsa
yang cedera itu dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan
lanjut.
Lagi Gambar-gambar kejadian...
"Pihak kami dimaklumkan bahawa kereta api berkenaan sedang dalam
perjalanan dari Kota Kinabalu menghala ke Beaufort berlangggar dengan
sebuah kenderaan.
"Akibat rempuhan itu, kenderaan mangsa berpusing dan terbabas sebelum
melanggar kereta Perodua Myvi dan sebuah basikal," katanya ketika
ditemui di tempat kejadian.
Beliau berkata setakat ini tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan tiada butiran lanjut tentang identiti mangsa.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat
Sabah Mohd Affendi K.Ramin berkata pihaknya terpaksa memotong pintu
kenderaan terbabit
untuk mengeluarkan salah seorang mangsa yang tersepit.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian
itu pada pukul 5.45pm dan mengerahkan satu jentera bersama 12 anggota
bergegas ke tempat kejadian.
Kesemua pelancong berkenaan difahamkan adalah bersaudara dan dalam
perjalanan ke lapangan terbang itu untuk menaiki penerbangan pulang ke
negara mereka malam ini.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin
Kitingan, yang melawat lokasi kejadian, berkata beliau terharu dengan
kejadian di luar jangkaan itu.
"Mengikut laporan awal pemandu kereta api, pemandu berkenaan telah
menggunakan brek kecemasan untuk mengelakkan daripada melanggar kereta
mangsa.
Bagaimanapun, kereta api itu mengambil masa untuk berhenti," katanya.
Mengikut laporan awal, Pairin berkata kenderaan lain sudah berhenti
setelah diberi isyarat tangan oleh pengawal landasan kereta api kecuali
kereta mangsa.
Pairin, yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, mengarahkan
supaya pihak berkenaan memasang papan tanda yang lebih besar dan palang
atau pagar yang boleh digunakan secara manual untuk memberhentikan
kenderaan.

- SUMBER


No comments:
Post a Comment