KUALA
LUMPUR, 11 Jun — Pertubuhan bukan kerajaan Gabungan NGO Islam hari ini
menyelar adik perdana menteri, Datuk Seri Nazir Razak ekoran sokongannya
terhadap Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Azran Osman Rani yang
baru-baru ini dikritik akhbar milik Umno Utusan Malaysia dan kumpulan
Melayu berhaluan kanan ekoran kenyataannya di laman Twitter.
Semalam, Nazir yang juga merupakan Eksekutif CIMB Bank Berhad memuji
Azran dengan melabelnya sebagai "tanda sebagai pemimpin" kerana berani
menyatakan pendiriannya walaupun tidak disukai ramai orang.
"Nazir dan Azran adalah dua contoh terbaik anak Melayu yang menepati maksud peribahasa ‘Seperti kacang lupakan kulit'.
"Justeru kami ingin sarankan agar Nazir dan Azran bertukar-tukar
jawatan atas dasar suka sama suka demi menguatkan lagi sikap anti Melayu
mereka," kata Dzulkarnain Taib dalam satu kenyataan media mewakili
gabungan pertubuhan tersebut.
Presiden Wartawan Muda Malaysia itu membidas Nazir (gambar)
kerana tidak mementingkan sensitiviti kaum Melayu sendiri, disamping
mendakwa adik kepada Datuk Seri Najib Razak tersebut tidak pernah
memahami rasa susah payah kerana dibesarkan dalam keluarga bangsawan.
"Tidak ramai orang Melayu bernasib baik seperti Nazir yang dilahirkan di dalam keluarga bangsawan.
"Kami sangat kesal dengan kenyataan Nazir kerana walaupun menerajui
sebuah konglomerat bank yang terkemuka di rantau ASEAN, malangnya beliau
terperangkap dalam kerangka pemikiran dan minda yang membelakangkan
sentimen dan sensitiviti bangsa Melayunya sendiri," katanya lagi.
Semalam The Malaysian Insider melaporkan Nazir yang
merupakan pembiaya utama AirAsia X memuji Azran kerana meluahkan isi
hatinya dengan mempercayai ia adalah perkara yang benar.
"Itulah tanda seorang pemimpin," kata Nazir semalam semasa pelancaran prospektus AirAsia X.
Adik bongsu kepada Najib itu menambah disebabkan kualiti seperti itu
pasukan syarikat penerbangan berkenaan telah menunjukkan 70 peratus
peningkatan tahunan keuntungan sejak dilancarkan pada November 2007.
Azran dikritik bulan lalu selepas beliau melalui akaun twitternya,
@azranosmanrani, mengatakan melihat serangan perkauman selepas pilihan
raya.
Beliau turut dilaporkan menerima kritikan daripada Perkasa, kumpulan pendesak Melayu atas kenyataan kerasnya itu.
Sebagai balasan, akhbar berkenaan menyiarkan pandangan pemimpin
Perkasa, Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan aktivis pro Umno menyelar
Azran dan menggelarnya "sombong" dan Melayu yang lupa daratan.
Pengerusi AirAsia X Tan Sri Rafizah Aziz dan pengarahnya, Datuk Seri
Kalimullah Hassan juga turut diserang daripada pelbagai kumpulan selepas
kedua-duanya mempertahankan kenyataan Azran.
Perkasa, Persatuan Veteran Penjawat Awam, Gerakan Reformis Malaysia
dan Jaringan Melayu Malaysia antara kumpulan yang menyerang Rafidah dan
Kalimullah dan menuntut mereka meminta maaf terhadap kenyataannya
terhadap Utusan.
Pemangku Presiden Perkasa Datuk Abdul Rahman Bakar turut menyokong
akhbar berkenaan dan berkata Azran tidak akan berada di posisi sekarang
tanpa "perjuangan Melayu yang dilakukan Utusan Malaysia."
Kolumnis Utusan, Awang Selamat menggesa Utusan supaya tidak lagi
menerima iklan daripada syarikat penerbangan terbabit sehingga
permohonan maaf dikeluarkan.
Awang turut membandingkan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dan
mengatakan syarikat penerbangan nasional itu mempunyai servis yang lebih
baik dan lebih bersifat nasionalisme
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment