Lepas PRU baru Dr M dedah wajah sebenar Umno
Harakahdaily, | 04 Jun 2013 |
KUALA LUMPUR:
Setelah menang pilihanraya umum ke 13 walaupun tewas undi popular buat
pertama kalinya dalam sejarah, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan wajah
Umno yang sebenar kepada umum.
(Kata Mahathir, orang Melayu sudah meluat dengan Umno... tetapi hanya sebut selepas pilihan raya selesai)
Bagi Mahathir, ramai orang Melayu sudah merasa meluat dengan Umno dan
mengganggapnya tidak relevan dan perlu ditolak kerana parti itu tidak
lagi berjuang untuk bangsa, agama dan tanahair.
“Umno ternampak
dan memang pun benar, berjuang untuk kepentingan orang-orang tertentu
dalamnya dan ahlinya sahaja. Umno berjuang untuk jawatan dan pangkat,
untuk memperkayakan diri, untuk sagu hati, untuk poket sendiri,” tulis
Mahathir di blognya.
Mahathir berkata pemimpin Umno kini
melariskan budaya memilih orang kurang berkobolehan untuk menyertai
parti supaya kedudukan mereka tidak diancam sampai bila-bila.
“Untuk
ini mereka berusaha mengurangkan kemungkinan diri mereka dicabar,
kurangkan kemungkinan diganti oleh sesiapa yang lebih layak. Umno adalah
hak ahlinya, hak pemimpinnya yang sedia ada dan bukan hak orang Melayu.
Setelah mereka mendapat tempat jangan benar orang Melayu lain, terutama
yang memiliki kebolehan tertentu, menyertai Umno,” selar beliau.
Sekarang,
Mahathir berkata Umno sudah menjadi sebuah parti hanya untuk pemimpin
dan ahli semasa, dari ketua cawangan kepada ketua bahagian.
“Umno
tidak perlu tambahan ahli, tidak perlu penyertaan sesiapa lagi kerana
ahli yang sedia ada perlu memelihara habuan mereka. Jika terlalu banyak
ahli, habuan perlu dikongsi. Dan habuan yang dikongsi tentulah tidak
sebanyak sebelum berkongsi,” sindirnya lagi.
Akibatnya, kata Mahathir, mereka terutama yang berkebolehan, yang berbakat tidak dibenar masuk Umno lagi.
“Yang
boleh menyertai hanyalah yang kurang berkebolehan dibanding dengan yang
sudah ada. Oleh kerana penyertaan dalam Umno mestilah melalui cawangan,
yang boleh masuk Umno ialah yang kurang berkebolehan dari ketua
cawangan,” katanya.
Mahathir juga menyindir bahawa pemimpin-pemimpin Umno ini sering terlupa ajal boleh sampai bila-bila masa.
“Ketua
cawangan manusia biasa yang boleh diserang penyakit, bahkan boleh mati
pun. Satu hari ketua cawangan terpaksa lepaskan jawatannya. Penggantinya
tentulah orang yang memiliki kebolehan yang kurang darinya. Dengan itu
kebolehan ketua cawangan akan merosot sepanjang masa, tiap kali
pengganti mengambil alih. Dan ini akan terjadi dalam keseluruhan parti,”
katanya.
Akhirnya, Mahathir berkata Umno hanya tinggal golongan
yang tidak berbakat sehingga semakin kurang ahli yang berbakat dan layak
untuk menjadi calon dalam PRU.
"Calon payung terjun yang
berbakat akan dikalahkan. Dengan itu pemimpin Kerajaan juga akan terdiri
dari yang tidak berkebolehan,” sindirnya lagi.
“Di mana pergi mereka yang berbakat ini?. Mereka pergi ke mana mereka di terima, tentunya parti lawan,” tambahnya lagi.
No comments:
Post a Comment