Saturday, June 8, 2013

IPCMC perlu berikan hak kepada anggota polis membuat rayuan, kata bekas KPN

Oleh Amin Iskandar
Penolong Pengarang Berita
June 08, 2013
KUALA LUMPUR, 8 Jun – Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) perlu juga memberikan keadilan kepada anggota polis, kata bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Musa Hassan. 
 
Menurut Musa, IPCMC yang pernah dicadangkan pada 2005 dahulu tidak adil kepada anggota polis kerana tidak memberikan hak kepada anggota-anggota polis untuk membuat rayuan di mahkamah berhubung keputusan IPCMC.
“Kalau penjenayah boleh buat rayuan terhadap hukuman dijatuhkan terhadap mereka, mengapa polis tidak boleh kemukakan rayuan?” kata Musa apabila dihubungi oleh The Malaysian Insider semalam.
“IPCMC ini kena ada keadilan juga untuk pegawai polis. Yang dulu punya setiap keputusan yang dibuat oleh Suruhanjaya IPCMC, tidak boleh buat rayuan di mahkamah,” tambahnya lagi.

IPCMC dicadangkan pada 2005 oleh suruhanjaya diraja yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah tetapi ditentang oleh polis, seharusnya berdasarkan kepada model Suruhanjaya Bebas Aduan Polis United Kingdom (IPCC), termasuk badan pemantau polis lain di New South Wales dan Queensland di Australia dan Hong Kong.

Berikutan beberapa kejadian kematian dalam tahanan polis baru-baru ini termasuk N. Dhamendran kerana dipukul berkali-kali, menurut laporan bedah siasat semasa berada dalam reman polis di ibu pejabat kontingen polis Kuala Lumpur, di sini pada 21 Mei, desakan agar kerajaan melaksanakan IPCMC kembali bergema.

Apabila ditanya tentang banyaknya kejadian dalam tahanan polis baru-baru ini, Musa berkata, “Saya syak, ramai yang mati dalam lokap ni sebab ada masalah kesihatan.”
Kata Musa (gambar fail), bukan pertama kali pendakwaan terhadap anggota polis yang menyebabkan kematian tahanan. Sebelum ini katanya sekitar tahun 70an-80an pernah berlaku dua-tiga kes.

Sebagai alternatif kepada IPCMC, semasa masih berkidmat sebagai ketua polis negara, Musa mencadangkan kepada kerajaan agar ditubuhkan Suruhanjaya Integriti Polis (PIC).

“PIC ni macam IPCMC, siasat dan akan berikan keputusan siasatan kepada Suruhanjaya Polis. Suruhanjaya Polis ni bertanggungjawab terhadap masalah disiplin pegawai dan anggota polis. Boleh buat cadangan terhadap tindakan mengenai masalah disiplin.
“Kalau ada berlakunya jenayah, Suruhanjaya Polis perlu mencadangkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk diambil tindakan,” katanya.

Menurut Musa lagi, cadangan mengenai penubuhan PIC telahpun disampaikan kepada perdana menteri pada ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Kata beliau, perdana menteri telah menghantar cadangan penubuhan PIC kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk dibuat kajian, sebaliknya selepas itu AGC mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Integriti Agensi Pengkuatkuasa (EAIC).
“EAIC ni untuk semua jabatan penguatkuasaan. Jadi tidak fokus kepada polis kerana ada jabatan penguatkuasaan lain,” katanya.

Dua hari lalu, EAIC mengumumkan siasatan sulungnya terhadap kematian dalam tahanan yang melibatkan Dhamendran dan R. Jamesh Ramesh, kedua-duanya mati dalam tahanan polis baru-baru ini.

Tiga anggota polis yang menyebabkan kematian Dhamendtan turut didakwa dua hari lalu, kira-kira dua minggu selepas bekas pemandu lori 32 tahun tersebut dibelasah hingga mati pada 21 Mei semasa berada dalam lokap di ibu pejabat polis kontinjen di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif EAIC Nor Afizah Hanum Mokhtar berkata baru-baru ini kepada The Malaysian Insider suruhanjaya itu tidak menyiasat kes kematian tahanan sebelum ini kerana kekurangan tenaga kerja.

Kumpulan hak asasi manusia Suaram juga mengatakan terdapat 218 kes kematian dalam tahanan yang didakwa berlaku di Malaysia dari tahun 2000 hingga bulan ini, dengan rekod menunjukkan sembilan daripada kes tersebut berlaku pada tahun 2012.
Kes terbaru kematian dalam tahanan adalah P. Karuna Nithi, 42, yang ditemui mati di lokap balai polis Tampin, Negeri Sembilan, Sabtu lepas.

Majlis Peguam, kumpulan masyarakat sivil dan beberapa ahli politik dari kerajaan dan pembangkang telah mendesak IPCMC ditubuhkan untuk melaksanakan reformasi terhadap pasukan polis semenjak 2006.
The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment