Monday, June 10, 2013

PAS sudah fail dua petisyen di Terengganu

Harakahdaily, 10 Jun 2013
KUALA TERENGGANU: PAS Terengganu sudah memfailkan dua petisyen pilihan raya semalam di negeri ini iaitu untuk DUN Kuala Brang dan Hulu Besut.

Menurut sumber, satu atau dua petisyen lagi akan difailkan oleh PAS di Terengganu.

(Tun Salleh dan Datuk Wan Mutalib...dua peguam yang akan mewakili PAS dalam petisyen)

Dalam pilihan raya umum lalu, calon PAS Shalahudin Jaafar kalah kepada calon BN, Nawi Mohamad sebanyak 1,570 undi di Dun Hulu Besut, Terengganu.

Shalahudin mendapat 6,314 undi manakala calon BN mendapat 7,884 undi manakala undi rosak adalah 170 dan peratusan keluar mengundi untuk Dun ini adalah 88 peratus.

Menurut peguam yang memfailkan kes ini, Saifudin Othman, pempetisyen kes ini adalah seorang pengundi bernama Mohamad Salleh bin Sidek.

Petisyen ini dikemukakan berdasarkan dakwaan rasuah yang dilakukan oleh calon BN.

"Sekumpulan peguam yang diketuai Tun Salleh Abas dan Datuk Wan Mutalib Embong akan mengendalikan kes ini bagi pihak PAS di mahkamah," kata Saifudin dari syarikat guaman Wan Mutalib & Co.

Di Dun Kuala Brang pula, calon PAS Muhyidin Abdul Rashid kalah kepada calon BN Tengku Putera Tengku Awang dengan majoriti 449 undi.

Muhyidin, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu mendapat 6,468 undi manakala calon BN mendapat 6,917 undi. Undi rosak adalah 280, peratusan keluar mengundi adalah 89.40 peratus.

No comments:

Post a Comment