| Harakahdaily, | 06 Jun 2013 |
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merakamkan ucapan takziah di atas kemalangan yang menimpa adik Muhammad Syafiq Imran Syahril (gambar), pelumba basikal Terengganu sehingga meragut nyawanya semalam.
Dalam kejadian pagi semalam, Allahyarham Muhammad Syafiq Imran sedang
mengadakan sesi latihan rutin bersama rakan-rakannya sebelum terjatuh
dan digilis sebuah treler di Kampung Bukit Guntung, Tepoh.
“DPPM menganggap kejadian yang berlaku ke atas Allahyarham Muhammad
Syafiq sebagai suatu tragedi malang yang begitu tragis dan menyayat
hati,” ujar Ketua DPPM, Nasrudin Hassan.
Katanya, ia adalah suatu suratan takdir yang telah ditentukan oleh Allah SWT terhadap hamba-Nya.
“Semoga kejadian ini memberi pengajaran kepada pasukan Terengganu dan
juga negeri-negeri lain agar sentiasa memberi perhatian terhadap
keselamatan peserta mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Justeru, Ahli Parlimen Temerloh itu menasihatkan atlit sukan agar
sentiasa mengutamakan aspek keselamatan semasa latihan mahupun
perlumbaan supaya semua mereka mampu mengharungi acara yang
dipertandingkan dengan selamat.
Katanya, kehilangan seorang pemain bererti sebutir bintang yang digilap juga telah hilang dan pergi sekelip mata.
Pastinya, kata beliau kehilangan beliau sukar dicari ganti kerana
pasukan tersebut terpaksa mencari pelumba lain yang berbakat besar
seperti Allahyarham Muhammad Syafiq.
“DPPM mengharapkan semoga keluarga Allahyarham tabah menghadapi ujian
seberat ini dan turut mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan di
sisi Allah sebagai hambaNya yang soleh jua,” ujarnya lagi.
No comments:
Post a Comment