Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing mencadangkan agar
mana-mana kad pengenalan (IC) biru meragukan yang dikeluarkan kepada
pendatang asing perlu ditarik semula, dan diberikan kad pengenalan merah
sementara sehingga penyiasatan berhubung perkara itu selesai, katanya
kepada Inkuiri Diraja Suruhanjaya penyiasatan dengan pemberian kad
pengenalan kepada warga asing (RCI).
Bekas ahli Parlimen Tuaran yang mesra Pakatan Rakyat (PR) itu
berkata, hanya mereka yang dipercayai benar-benar sebagai warganegara
sahaja akan diberikan kad pengenalan biru selepas selesai penyiasatan
bagi membolehkan gejala pemberian kad pengenalan kepada warga asing
dapat diselesaikan.
"Ia perlu diselesaikan seperti mana pemberian kad pengenalan
mula-mula berlaku," katanya kepada panel inkuiri yang diketuai bekas
Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong.
"Kerajaan perlu bersedia mengeluarkan duit untuk tujuan itu," katanya
yang bertanding menggunakan lambang PKR dalam Pilihan Raya 2013, pada 5
Mei lalu, namun tewas kepada Datuk Wilfred Madius Tangau, dari BN-UPKO.
Bumburing turut mendakwa, dengan penambahan jumlah populasi Sabah
yang mengejut, ia mengubah landkap demografi negeri Borneo tersebut,
malah turut memberi kesan terhadap keputusan pilihan raya.
Beliau turut mengambil contoh kawasan Parlimen Likas, yang menurutnya
pada suatu ketika merupakan kawasan majoriti Cina kini komuniti itu
bukan lagi komuniti majoriti.
"Semua orang sedar pendatang asing memberikan kesan kepada keputusan pilihan raya," dakwanya.
"Lihat Batu Sapi, jelas warga asing melebihi pengundi tempatan," katanya lagi.
Beliau turut menyatakan daripada 48 kerusi Parlimen di Sabah, kawasan
majoriti bukan Muslim hanya tinggal 18 daripada 20 kerusi sebelumnya,
manakala kawasan majoriti Muslim meningkat kepada 24 berbanding 20, dan
bakinya kawasan majoriti Cina dengan lapan kawasan.
"Kerajaan tahu mereka yang diberikan kad pengenalan secara tidak sah,
jika suruhanjaya melaksanakan perkara ini, sebahagian besarnya akan
selesai.
"Saya merasakan mereka (warga asing) perlu diberi keizinan tinggal
sementara sehingga penyiasatan selesai, bukannya persoalan menghalau
mereka keluar (Sabah) ... Mereka ada keluarga, jadi perlu diberikan
alternatif, kerajaan tahu siapa mereka, dan ia boleh dilakukan," katanya
lagi.
Cadangan beliau dilihat selari dengan ahli Parlimen Barisan Nasional
(BN) Datuk Wilfred Madius Tangau semalam yang berkata kepada panel RCI,
masalah pemberian kad pengenalan kepada pendatang asing juga tidak akan
pernah selesai, melainkan rombakan keseluruhan sistem pemberian kad
pengenalan dilaksanakan.
"Ini isu integriti ... kita perlu 'reset' semuanya untuk kembali ke
'ground zero', katanya yang juga merupakan Setiausaha Agung Parti
Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) kepada lima panel RCI di
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, di sini.
Beliau kemudiannya mencadangkan agar mereka yang telah diambil kad
pengenalannya dalam proses tersebut untuk memohon kembali menggunakan
sijil kelahiran.
"Jika kita tidak melakukan perkara itu, bagaimana kita mahu
menyelesaikan masalah kad pengenalan meragukan seperti ini," soalnya
lagi, dan menambah kes pemberian kad pengenalan meragukan itu tidak akan
pernah berhenti, sebaliknya akan berterusan.
"Pada mereka yang rasa mereka benar-benar warganegara, tiada apa nak
ditakutkan," tambahnya yang juga merupakan saksi pertama dalam kalangan
ahli politik yang dipanggil memberi keterangan kepada RCI.
Beliau turut berkata, 10 peratus pendatang asing yang menerima kad pengenalan tersebut tanpa perlu memohonnya.
"Manakala 90 peratus daripada mereka membeli kad pengenalan
tersebut," katanya, dan menerangkan laporan kaji selidik tersebut akan
didedahkan oleh Presiden UPKO Tan Sri Bernard Giluk Dompok pada Jumaat
ini kepada RCI.
RCI sebelum ini pada Mei diberitahu Sabah mengeluarkan kad pengenalan
12 kali lebih banyak berbanding Sarawak, dengan sekitar 66,000
pendatang haram di negeri Borneo tersebut telah diberi kad pengenalan
biru sejak 1963.
Pengarah Jabatan Pendaftaran Negeri Sarawak Datuk Abu Bakar Mat
sebelum ini memberi keterangan seramai 5,373 pendatang di Sarawak telah
diberi IC biru daripada 1963 hingga 2012.
Dianggarkan sekitar 28 peratus daripada 3.2 juta penduduk Sabah
adalah warga asing, menjadikannya berjumlah seramai 889,000 orang.
Kemasukan pendatang asing tanpa izin telah menimbulkan kemarahan
masyarakat pribumi Sabah seperti Kadazandusun dan Murut (KDM), ramai
daripada mereka merasakan kedaulatan negeri Borneo tersebut telah
dirompak ekoran kebanjiran warga asing dari Filipina dan Indonesia. TMI
RCI akan disambung esok pada jam 9.30 pagi. - 19 Jun, 2013.
No comments:
Post a Comment