Putrajaya akan utamakan mereka yang sokong BN dalam PRU13, kata Muhyiddin
KUALA
LUMPUR, 8 Jun — Pentadbiran Barisan Nasional (BN) akan memberi "bantuan
lebih kuat" kepada komuniti yang menyokong mereka semasa pilihan raya
umum, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) hari ini.
Pengumuman timbalan perdana menteri itu dilihat sebagai penerusan
kepada pendirian Putrajaya untuk menyalahkan masyarakat Cina berhubung
keputusan pilihan raya 5 Mei lalu.
"Mesej jelas sebahagian besar Melayu, India, Bumiputera, Orang Asli,
Siam dan sebahagian besar masyarakat di Sabah dan Sarawak masih
mendukung BN," kata beliau dipetik dari agensi berita nasional Bernama
semasa berucap pada Majlis Kesyukuran dan Penghargaan Barisan Nasional
(BN) di Sekolah Menengah Tengku Temenggong Ahmad di Kundang Ulu, Muar.
"Mereka ini akan terus kita bantu dengan lebih kuat, itu yang akan kita lakukan," tambah beliau lagi.
Akhbar milik Umno Utusan Malaysia mempersoalkan "Apa lagi Cina mahu?
dalam langkah yang dilihat sebagai percubaan untuk mencorakkan
keputusan Pilihan Raya 2013 sebagai undi Cina lawan undi Melayu.
Walau bagaimanapun, penganalisis telah mengatakan trend dalam
pengundian menunjukkan keputusan Pilihan Raya 2013 tidaklah semudah
"tsunami Cina" seperti yang didakwa oleh Datuk Seri Najib Razak akan
tetapi ianya lebih kepada pertentangan bandar dan luar bandar bagi
Malaysia.
Selepas Pilihan Raya 2013, bekas ketua pengarang kumpulan akhbar
milik Umno New Straits Times mengatakan kelemahan BN dalam Pilihan Raya
2013 menunjukkan penolakkan dari seluruh rakyat Malaysia dan bukan hanya
dari minoriti Cina.
Datuk A Kadir Jasin mengatakan gabungan 13 parti itu bukan sahaja
mendapat kurang kerusi daripada 222 kerusi Dewan Rakyat dan 12 Dewan
Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya 2013 berbanding 2008, akan
tetapi turut kehilangan undi popular buat pertama kali semenjak 1969.
"Adakah tidak mungkin bahawa ini bukan tsunami Cina atau cauvinisme
kaum, tetapi tsunami Malaysia yang berpaksikan aspirasi dan realiti
baru, khasnya di kalangan pengundi muda?" kata bekas ketua pengarang
kumpulan News Strait Times Press semasa era pentadbiran Tun Dr Mahathir
Mohamad dalam tulisan di blognya yang bertajuk, "Keputusan PRU13-Tsunami
Cina atau Tsunami Malaysia?".
Najib mengatakan sebaik sahaja menerima keputusan Pilihan Raya 2013
kerajaan baru BN akan memulakan perdamaian kebangsaan, sebagai
usaha-usaha untuk menyatukan rakyat Malaysia, selepas apa yang beliau
gambarkan senagai "tsunami Cina" dalam pilihan raya umum ke 13 -
menyaksikan BN menang dengan majoriti lebih kecil berbanding Pilihan
Raya 2008.
Menurut Kadir, pencapaian BN dalam Pilihan Raya 2013, lebih buruk
daipada 2008. Kerusi di Parlimen jatuh daripada 140 kepada 133. Manakala
bagi kerusi DUN, BN merosot daripada 306 kepada 274 walaupun dapat
menawan semula Kedah dan mengesahkan penguasan ke atas Perak.
Sementara Pakatan Rakyat (PR) dapat meningkatkan pengusaan mereka di
Parlimen apabila mendapat 89 kerusi berbanding 82 dalam Pilihan Raya
2008. Akan tetapi, negeri Kedah yang dimenangi mereka pada 2008 gagal
dipertahankan.
Muhyiddin turut berkata hari ini adalah penting untuk memastikan
institusi yang selama ini telah kerajaan wujudkan untuk menjaga
pembangunan, keharmonian, perpaduan dan keselamatan negara tidak diancam
oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Saya dapat mesej yang jelas sewaktu pertemuan bersama pemimpin badan
bukan kerajaan (NGO) dan rakyat, kini kerajaan yang memerintah mesti
lebih efektif, cekap, berani serta bersedia hadapi apa sahaja di
hadapan.
"Jangan biarkan puak-puak yang tidak bertanggungjawab
mengganggu-gugat keamanan dan perpaduan. Mereka (rakyat) mahukan
kerajaan lebih berani.
"Saya nak ulangi, kita akan bertindak lebih tegas mempertahan segala
institusi yang telah dibina untuk menjaga pembangunan, keharmonian,
perpaduan, keselamatan dan keamanan negara," katanya.
No comments:
Post a Comment