Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah
Persekutuan) 2013 yang diluluskan oleh Kabinet untuk dibentangkan di
Parlimen bercanggah dengan konsep 1Malaysia diperkenalkan oleh perdana
menteri, kata Tan Sri Bernard Dompok (gambar).
Pertikaian isu ini dibangkitkan selepas seorang wanita Hindu,
Subashini Rajasingam mengemukakan perintah injunksi bagi menghalang
suaminya, Saravanan Thangathoray daripada mengislamkan dua anak lelaki
mereka, Dharvin Joshua, 4, dan Sharvind, 2 pada 2007.
“Rang Undang-undang ini bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan
dan pelan transformasi Kerajaan terutamanya konsep 1Malaysia yang
menegaskan penerimaan, inklusif dan sederhana,” kata presiden UPKO itu
dalam satu kenyataan petang ini.
“Oleh itu kami menggesa Rang Undang-undang ini ditarik semula dari
Parlimen dan perbincangan penuh oleh Barisan Nasional mengenai ini dan
isu lain berkaitan agama sebelum ianya dibentangkan di Parlimen,” tambah
beliau lagi.
Semalam Majlis Perundingan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme
Malaysia (MCCBCHST) mendakwa peruntukan Rang Undang-Undang Pentadbiran
Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 yang dibentang di Parlimen akan
menindas bukan Islam, ia ekoran pertikaian tentang hak bersama penjaga
dalam menentukan agama anak mereka.
"Saya terkejut dan kecewa kerana Rang Undang-undang ini telah diluluskan oleh Kabinet untuk dibentangkan di Parlimen."
“Beberapa bulan lalu, saya minta Rang Undang-undang ini dikeluarkan
daripada perbincangan Kabinet kerana saya merasakan keputusan awal
Kabinet mengenai Akta Membaharui Undang-undang ( Perkahwinan dan
Perceraian) 1976 perlu dilaksanakan,” tambah Dompok yang juga bekas
Menteri Perusahaan, Perladangan Dan Komoditi.
Presiden Majlis Peguam Christopher Leong juga semalam menyatakan
pendirian sama apabila menegaskan penukaran agama tanpa persetujuan
bersama penjaga anak bawah umur adalah bertentangan dengan perkara dalam
perlembagaan dan mengingkari undang-undang tertinggi negara ini.
"Tanpa persetujuan dengan penjaga yang tidak menukar agama adalah bertentangan dengan perkara perlembagaan kita.
"Sebarang undang-undang yang bertentangan dengan Perkara 12 (4),
dibaca dengan Perkara 160 dan Jadual Kesebelas Perlembagaan Persekutuan,
dan berupa peruntukkan untuk memberi kebenaran kepada satu penjaga
untuk menukar agama anak bawah umur adalah bercanggah dengan
perlembagaan," katanya.
Pada 13 Mac 2007, Mahkamah Rayuan membuat keputusan majoriti 2-1
menolak dengan kos rayuan Subashini untuk mengekalkan perintah injunksi
ex-parte bagi menghalang dua anak lelakinya yang masih bawah umur
daripada diislamkan oleh Saravanan.
Pada 23 Mei 2006, Saravanan mendapat perintah ex-parte daripada
Mahkamah Tinggi Syariah berhubung hak jagaan sementara Dharvin Joshua
yang bersama-samanya memeluk Islam dengan menukar nama kepada Muhammad
Shazrul Dharvin. – 28 Jun, 2013.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment