28 Julai 2013
PENYOKONG Morsi membantu seorang lelaki yang cedera untuk mendapatkan rawatan di Bandar Nasr, Kaherah semalam.
|
KAHERAH - Sekurang-kurangnya 120 penyokong bekas Presiden Mesir yang
digulingkan, Mohamed Morsi terbunuh manakala 1,000 yang lain cedera
dalam pertempuran dengan polis di sini pagi semalam, kata para doktor
dan pergerakan Islam Ikhwanul Muslimin.
Pemimpin Ikhwanul Muslimin, Murad Ali ketika memberitahu agensi berita AFP mendakwa polis melepaskan tembakan peluru hidup.
Bagaimanapun, agensi berita milik pemerintah, MENA yang memetik seorang pegawai keselamatan menafikan pihak polis menggunakan peluru hidup.
Menurut laporan MENA, pertempuran meletus pada waktu subuh di
jalan menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah dengan polis
melepaskan gas pemedih mata ke arah para penunjuk perasaan yang
membaling batu.
Morsi digulingkan menerusi rampasan kuasa oleh pihak tentera pada 3 Julai lalu.
Sejak itu, beribu-ribu penyokong Ikhwanul Muslimin berkumpul di luar
Masjid Rabaa Al-Adawiya di sini bagi menuntut Morsi dilantik semula
sebagai presiden.
Dalam pada itu, beribu-ribu penyokong Morsi dan penentang rampasan
kuasa turut berhimpun di jalan-jalan di Iskandariah hingga mencetuskan
pertempuran sengit dan mengorbankan tujuh orang serta mencederakan 194
yang lain.
Pertumpahan darah berlaku beberapa jam selepas Menteri Dalam Negeri
sementara, Mohammed Ibrahim memberi amaran bahawa pihaknya akan segera
bertindak menyuraikan kumpulan yang berhimpun di bandar Nasr, Kaherah.
Kekacauan mula timbul apabila pihak berkuasa mendakwa Morsi terlibat
dalam kes pembunuhan dan beliau ditahan untuk disoal siasat selama 15
hari.
Menurut MENA, Morsi didakwa merancang pembunuhan sejumlah
tahanan, para pegawai dan anggota tentera ketika kebangkitan rakyat
Mesir menentang diktator Hosni Mubarak pada tahun 2011.
Pemimpin Islam yang digulingkan itu turut disyaki bekerjasama dengan
kumpulan Hamas di Palestin untuk menyerang dan memusnahkan beberapa buah
penjara serta melepaskan sejumlah tahanan termasuk dirinya.
Morsi berkemungkinan besar akan dihantar ke penjara Torah yang kini turut dihuni oleh bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak.- AFP
No comments:
Post a Comment