Sunday, July 28, 2013

Pahang warta fatwa pengharaman Syiah - Bernama


July 28, 2013 TMI
Pahang akan mewartakan fatwa pengharaman ajaran Syiah bagi mengelak ia daripada terus mengelirukan dan memesongkan akidah umat Islam di negeri ini.

Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, bertitah pewartaan itu selaras pengharaman ajaran Syiah di negeri ini beberapa tahun lalu.

"Perlu kita wartakan (fatwa pengharaman ajaran Syiah). Bagi negeri Pahang, kita dah lama haramkan ajaran ini sebab kita amalkan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dan ia perlu dikekalkan.
"Ini kerana ajaran Syiah berbeza dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan kita tak mahu ada pihak yang kelirukan dan pesongkan akidah umat Islam dengan ajaran ini," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika ditemui pemberita selepas berangkat ke Majlis Khatam Al-Quran Rakan Muda Ramadan peringkat negeri di sini, semalam.

Baginda mengulas keputusan kerajaan Kedah yang bakal mewartakan fatwa anti-Syiah seperti yang diumumkan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir Khamis lalu.
Baginda bertitah ajaran itu tidak boleh dibenarkan berleluasa di negara ini kerana ia memberi kesan buruk kepada umat Islam di negara lain yang mengamal ajaran itu. - Bernama, 28 Julai, 2013.

No comments:

Post a Comment