Saturday, July 13, 2013

22,000 keluarga miskin terima bantuan Mais

Harakahdaily 

Selangorku, 12 Jul 2013
SHAH ALAM: Seramai 22,000 keluarga fakir dan miskin akan menerima bantuan yang diagihkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Pengerusinya, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, Mais memperuntukan sejumlah RM16 juta bagi tujuan itu.

Daripada jumlah tersebut, RM10 juta diagihkan kepada golongan miskin manakala bakinya akan diagihkan kepada golongan fakir.

Tambah beliau lagi, jumlah asnaf miskin di negeri ini ialah seramai 14,342 keluarga dan asnaf fakir pula seramai 7,181 keluarga.

“Bantuan Zakat yang diberikan ini adalah berupa wang tunai.

“Setiap asnaf fakir dan miskin menerima bantuan di antara RM 500 dan RM 1,000 bagi sebuah keluarga bergantung kepada tanggunggan,” katanya.

Adzib berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di majlis berbuka puasa bersama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, semalam.

Jelasnya, pada lima bulan pertama tahun 2013, Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjaya mengutip RM143 juta berbanding tempoh yang sama pada 2012 iaitu sebanyak RM126 juta.

Katanya, jumlah kutipan, meningkat sebanyak 14 peratus.

Tambah beliau lagi, bilangan pembayar zakat juga meningkat sebanyak 22 peratus daripada 142,000 orang pada Januari hingga Mei 2012 kepada 173,000 orang dalam tempoh yang sama tahun 2013.

“Dari segi agihan zakat pula, LZS telah mengagihkan sebanyak RM174.2 juta kepada asnaf zakat sepanjang lima bulan pertama tahun ini, ia meningkat sebanyak 22 peratus,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment