Ini
adalah dilema Umno: dua wanita bersemangat tinggi dan degil percaya
mereka mempunyai reputasi yang tidak tercemar dan layak untuk bertanding
bagi posisi paling kanan dalam Wanita Umno.
Mereka tentunya sengaja memekakkan telinga dan enggan mendengar
pendapat daripada luar parti, malah sememangnya yakin dengan kekuatan
parti apabila Umno menang besar sebagai parti tunggal yang berjaya
memperoleh 88 daripada 222 kerusi dipertandingkan.
Apa kritikan terhadap Datuk Seri Shahrizat Jalil? Rakyat Malaysia
pasti tidak melupakan kisah geran kerajaan bernilai RM250 juta yang
diberikan kepada keluaganya bagi projek National Feedlot Corporation
(NPC) yang kemudian disalahgunakan.
Rakyat juga tahu mengenai pembelian kondominium mahal, kereta mewah
dan bagaimana akhirnya pertaruhan kerajaan itu gagal dengan teruk. Dari
Perlis hingga ke Johor mengkritik beliau dan berpendapat beliau patut
memberi ruang kepada pemimpin muda.
Respon Shahrizat? "Mereka boleh pergi mati."
Bagaimana dengan krtikan untuk Datuk Seri Azalina Othman Said? Rakyat
Malaysia masih ingat laporan rasuah dan salah guna kuasa dalam
Kementerian Pelancongan, yang akhirnya tuduhan itu menamatkan harapannya
untuk mendaki kedudukan dalam arena politik Malaysia.
Azalina juga bersikap acuh tidak acuh dengan persekitaran negatif
yang menyelubungi tawarannya untuk bertanding kerusi tertinggi dalam
Wanita Umno.
Katanya: "Rekod saya bersih. Saya menang kerusi Pengerang, itu
bermakna saya tidak `berhutang' dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM). Apa kesalahan saya ketika menjadi Menteri Belia dan
Sukan? Apa yang saya buat? Saya melaksanakan tugas dengan baik,"
katanya.
Berita mengenai kedua-dua wanita yang menawarkan diri untuk duduk di
jawatan tertinggi dalam Wanita Umno itu mengundang tawa dan ada juga
yang tidak percaya.
Ini membawa kepada persoalan adakah ini yang terbaik boleh Umno berikan: ahli politik dengan masalah berbangkit.
Ahli parti yang berfikiran teliti mula bimbang dengan setengah juta
pengundi baru yang datang setiap tahun hingga pemilihan akan datang
dalam tempoh lima tahun, Umno menyajikan takdir yang hanya memfokuskan
kepada apa yang boleh diterima kepada parti dan bukan untuk populasi
lebih besar.
Ahli ini sedar bahawa majoriti golongan muda rakyat Malaysia mengundi
pembangkang dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kerana percaya
pemimpin Barisan Nasional(BN) rasuah dan tercemar. Dalam tempoh lima
tahun, kumpulan pengundi ini akan menjadi lebih besar.
Bekas Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz, berkata parti tidak
lagi mampu berfungsi seperti biasa dan keadaan ini memerlukan sayap Umno
mempunyai barisan kepimpinan di setiap peringkat yang ada kredibiliti
dan boleh dipercayai.
"Ini adalah cabaran yang perlu dihadapi Wanita Umno dan ahli parti
perlu memastikan mereka tidak hanya memilih pemimpin sekadar untuk
mengisi kekosongan jawatan dalam parti," kata bekas Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri itu.
Beliau menasihatkan ahli parti supaya memikirkan mengenai masa depan
parti, yang pastinya akan tergambar dalam pemilihan ketua mereka.
Warlord
Sehingga hari ini, hanya Shahrizat dan Azalina yang sudah menawarkan
diri bertanding di gelanggang Wanita Umno. Maka, begitu kurangkah
pemimpin dalam Wanita Umno?
Pengarah Institut Pengajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin tidak berpendapat
begitu.
"Dalam Wanita Umno ada pelapis, namun politik dalaman Umno adalah
politik warlord yang akan bertanding hanyalah warlord bukan orang
suruhan. Daipada Kumpulan orang suruhan akan dipilih salah seorang
daripadanya oleh warlord sebagai pengganti.
"Sistem ini diamalkan kerana kepentingan warlord mesti terjaga
walaupun selepas bersara. Kepentingan orang suruhan pula dipayungi oleh
warlord. Itulah putaran ganas dalam pimpinan Umno, termasuk dalam Wanita
Umno," katanya.
Seorang lagi ahli akademik, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian
Sejarah, Politik dan Strategi UKM, Dr Kartini Aboo Talib turut bersetuju
masalah dalam Wanita Umno tidak ada kena mengena dengan kekurangan
calon berkelayakan.
"Ada beberapa nama seperti Datuk Noraini Ahmad (Parit Sulong) dan
Noriah Kasnon (Sg Besar) serta Datuk Rosnah Shirlin yang sudah mencapai
usia matang untuk bergerak dalam sayap Wanita Umno dan tidak lagi
berpayung di sebalik Puteri Umno. Tetapi kepimpinan wanita kurang
memberi peluang untuk calon lain dalam Wanita untuk maju.
"Shahrizat dan Azalina masih lagi yakin yang pucuk pimpinan mereka
mendapat sokongan kuat Wanita. Bukan saja persoalan keyakinan diri,
tetapi juga isu status quo yang dilihat sangat signifikan dalam
kepimpinan Wanita," katanya.
Selain itu, katanya, ahli-ahli bawahan juga tidak berani mencabar
kedua-dua pemimpin ini kerana bimbang nasib mereka yang mungkin berdepan
dengan perpecahan dalam parti hingga memusnahkan organisasi wanita dan
ini tidak dianggap sebagai persaingan yang sihat.
"Budaya feudal dan patron client masih kuat berakar umbi dalam Wanita
Umno. Selagi mentaliti ini tidak berubah, Wanita Umno akan hilang
taringnya dan menjadi kurang effektif dalam memberi impak penyertaan
wanita dalam politik," katanya.
Calon pra pemilihan
Shahrizat, yang menewaskan Rafidah pada 2009 dalam merebut mahkota
Wanita Umno, berkata beliau mengalu-alukan lebih ramai wanita bertanding
dalam pemilihan kali ini. "Lebih ramai lebih baik dan saya
mengalu-alukan lebih ramai wanita tampil dan menawarkan diri untuk
mengetuai Wanita Umno," katanya.
Ada kemungkinan, isu pencabar yang terhad ini disebabkan ada pencalonan pra pemilihan daripada kepimpinan tinggi parti.
Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sedar
mengenai kebimbangan terhadap kualiti calon yang menawarkan diri mereka
untuk bertanding dalam pemilihan parti.
Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan memberitahu The
Malaysian Insider, keputusan muktamad senarai calon berada di
pejabatnya.
"Pejabat Setiausaha Agung Umno akan memutuskan perkara itu selepas
meneliti banyak kriteria calon berkenaan. Kita akan memeriksa rekod
mereka dalam parti, kesetiaan mereka dan banyak lagi faktor lain sebelum
membenarkan mereka bertanding. Mereka boleh menawarkan diri untuk
berebut mana-mana jawatan, tetapi kami yang akan memutuskan," katanya. -
6 Julai, 2013.TMI
No comments:
Post a Comment