Penolakan
orang Melayu terhadap Pakatan Rakyat (PR) di luar bandar adalah kerana
sering diuar-uarkan apabila gabungan pembangkang itu memerintah maka Lim
Kit Siang akan dilantik menjadi Perdana Menteri (PM), kata Tony Pua
(gambar).
Mengulas mengenai keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut,
beliau berkata, penduduk luar bandar mengetahui kerajaan Barisan
Nasional (BN) mengamalkan rasuah, terbabit dalam penyalahgunaan kuasa
dan mengutamakan kepentingan krooni, tetapi masih memilih mereka kerana
sentimen Lim bakal menjadi PM sering dimainkan.
Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu menjelaskan sentimen atau
ketakutan orang Melayu akan kehilangan kuasa harus diperbetulkan dan
perlu dijadikan agenda utama sekiranya PR ingin menakluk Putrajaya pada
pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kelak.
“Dapat kita lihat transformasi yang dilakukan oleh orang Cina dengan
menolak BN pada PRU13 lalu dan ketakutan mereka terhadap sentimen
perkauman yang pernah dimainkan suatu masa dahulu hilang.
“Jika suatu masa dahulu penduduk Cina di Johor sering dimomokkan jika
pembangkang menang, orang Melayu akan keluar dengan parang bunuh orang
Cina. Namun selepas PRU13 terbukti ketakutan itu tidak lagi menjadi
isu,” jelas Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dalam satu
ucapan di majlis berbuka puasa yang diadakan di Ibu Pejabat DAP semalam.
Beliau berkata, BN konsisten menyerang DAP dalam PR tanpa mengambil
kira parti lain yang turut bergabung dalam PR seperti PAS dan PKR bagi
memastikan kelangsungan pemerintahan.
Pua memberi contoh dalam kempen PRK Kuala Besut baru-baru ini meskipun
majoriti pengundi di sana adalah orang Melayu, namun isu yang
ditimbulkan ialah DAP mahu mewujudkan sebuah negara residen dan melantik
Kit Siang sebagai PM.
“Isu pokok sebenarnya adalah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad
Said sendiri mengakui secara terbuka beliau mengamalkan kronisme
daripada segi projek kerajaan negeri.
“Begitu juga dengan pengagihan tanah kepada Ahli Dewan Undangan Negeri
(Adun) BN di Terengganu dengan mendapat lokasi tanah yang baik di tepi
pantai secara percuma kononnya atas sumbangan Adun BN. Orang lain tiada
sumbangan ke?”katanya yang mempertikaikan pengamalan kronisme oleh
kerajaan negeri Terengganu.
Isu pemilikan tanah adalah bahan yang sering diketengahkan oleh PAS semasa kempen PRK Kuala Besut tempoh hari.
PAS sebelum ini membangkitkan isu tanah di Kuala Besut antaranya
termasuk unit pengsapuri di Kampung Lay Out, Tok Saboh yang mereka dakwa
dirampas oleh BN daripada penduduk.
Perkara itu bagaimanapun dinafikan pemimpin BN, malah menganggap PAS
sudah kehabisan idea, apabila terpaksa mengitar semula idea lama bagi
menarik pengundi di Kuala Besut.
Selain itu, PAS turut mempersoalkan pemberian tanah kepada empat Adun
Terengganu malah turut mencabar Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengarah
PRK Kuala Besut BN menarik balik tanah berkenaan.
Ahmad Said bagaimanapun menegaskan tidak akan menarik balik tanah itu
kerana ia bagi menghargai jasa individu berkenaan sebagai wakil rakyat.
Beliau berkata, wakil rakyat berhak memohon dan memiliki tanah seperti anak negeri lain.
Sejak mengambil alih jawatan sebagai menteri besar pada 2008, Ahmad
Said menyerahkan hampir 12,000 tapak rumah dan hampir 8,000 tapak
pertanian di negeri berkenaan.
PRK DUN Kuala Besut menyaksikan calon BN Tengku Zaihan mengalahkan
calon PAS Endot@Azlan Yusof, 48, dengan majoriti 2,592 undi selepas
Tengku Zaihan memperoleh 8,288 undi manakala Azlan mendapat 5,696 undi.
BN berjaya menang dalam PRK pertama selepas pilihan raya umum 5 Mei
sekaligus memunahkan harapan PAS yang mahukan DUN Terengganu tergantung
dengan 16:16. – 26 Julai, 2013.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment