Mahkamah
Tinggi Kuala Lumpur, hari ini, memerintahkan Utusan Malaysia membayar
ganti rugi umum dan teladan sebanyak RM250,000 kepada bekas Menteri
Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (tengah) atas saman yang difailkan terhadap akhbar itu berhubung isu pendaftaran nombor plat kereta WWW1, pada tahun lalu.
Peguam Nizar, Fitri Asmuni memberitahu Malaysian Insider, Hakim
Rosnani Saub dalam keputusannya mendapati Utusan Malaysia bersalah
melakukan fitnah terhadap Nizar dan akhbar itu gagal dalam pembelaannya
yang menyatakan bahawa tindakan mereka menyiarkan kenyataan Nizar
menerusi akaun Twitternya itu adalah satu justifikasi, komen berpatutan,
perlindungan bersyarat dan kewartawanan.
"Hakim dalam penghakimannya turut berkata bahawa Nizar dalam
kenyataan itu tidak mempersoalkan dari mana Sultan memperoleh wang
berkenaan, tetapi hanya berkata ia satu pembaziran wang," katanya.
Mahkamah juga, katanya, memerintahkan Utusan Malaysia membayar kos RM30,000.
Fitri berkata, Nizar yang kini berada di Australia sudah dimaklumkan
mengenai keputusan mahkamah itu menerusi teks pesanan ringkas.
Nizar menyaman Utusan berikutan akhbar itu menerbitkan pernyataan
fitnah berhubung pembelian nombor plat kenderaan WWW 1 yang dibida pada
harga RM520,000. Nizar pada 28 Mei tahun lalu mengeluarkan satu
kenyataan melalui akaun Twitter miliknya berhubung nombor plat itu.
Mohammad Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang
mendakwa pada 30 Mei tahun lalu, TV3 mengeluarkan berita melalui
Buletin Utama jam 8 malam, berhubung kenyataannya itu. Keesokannya pada
31 Mei, Utusan Melayu menerbitkan satu artikel di halaman 11, akhbar
Utusan Malaysia berhubung kenyataannya itu.
Nizar mendakwa pernyataan ftnah itu antara lain membawa maksud bahawa
beliau adalah seorang penderhaka kepada sultan amnya, dan Sultan Johor
khususnya, beliau adalah ahli politik yang anti-sultan dan seorang ahli
politik yang cuba menghasut rakyat untuk membenci Sultan Johor.
Sementara itu, pada April lalu, Nizar kalah dalam tuntutan saman sama
terhadap TV3 dan Fitri memaklumkan bahawa pihaknya akan memfailkan
notis tuntutan di mahkamah esok.
Pada Februari 2011, Mahkamah Rayuan memerintahkan Utusan membayar
ganti rugi RM200,000 kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng
berhubung penyiaran artikel bertajuk `Kebiadapan Guan Eng' yang
disiarkan pada 20 Disember 2011.
Pada Januari lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menang
dalam tuntutan saman terhadap Utusan selepas Hakim Mahkamah Tinggi, VT
Singham mendapati akhbar itu memfitnah Anwar dalam dua artikel. - 4
Julai, 2013.TMI
No comments:
Post a Comment