Friday, July 5, 2013

Satu kes kad pengenalan palsu setiap dua minggu - Pengarah JPN Sabah di RCI

Oleh Mohd Farhan Darwis
July 04, 2013
Inkuiri Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) hari ini diberitahu, sindiket kad pengenalan palsu di negara ini berleluasa berdasarkan kekerapan satu kes dilapor setiap dua minggu. 

Memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah, Ismail Ahmad ketika menyentuh isu pendatang asing mendapati ramai pemegang kad pengenalan palsu menggunakan alamat Sabah

"Sindiket IC palsu memang ada. Dia (pemegang kad palsu) di Kuala Lumpur, pakai alamat Sabah. Setiap dua minggu ada kes dilapor," katanya sambil menambah kebanyakan kes membabitkan kad pengenalan bermutu tinggi.

Saksi ke-163 itu, berkata pengesanan kad pengenalan meragukan biasanya  dikesan apabila mereka menukar resit kad pengenalan sementara kepada kad pengenalan.

"Apabila ada IC yang tidak betul datang ke JPN, kita semak dan jika mendapati dia tidak layak kerana kad pengenalannya meragukan, kita tarik balik IC itu.
"Seseorang yang tidak layak tidak boleh dapat IC," katanya depan Ketua Panel inkuiri berkenaan yang juga bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong.

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabah, Datuk Mohd Idrus Ismail pula mencadangkan pengundi di seluruh negara didaftar semula bagi mengemas kini maklumat , sekali gus membersihkan daftar pemilih.
"Daftar semua sekali, lagi bagus. Tapi kita tak buang daftar lama. Mungkin ada yang sudah menetap di merata-rata tempat," kata saksi ke-164 itu tetapi mengakui tindakan itu memerlukan implikasi besar..
"Implikasinya besar. Kita kena pinda Perlembagaan. Ia tidak boleh dilaksanakan dalam masa cepat. Ia perlu kajian tepat, memang agak serabut," katanya.

Ditanya sama ada SPR sedia meletak gambar pengundi dalam semakan daftar pemilih di laman web suruhanjaya itu, Mohd Idrus berkata ia boleh dilaksanakan dengan kerjasama dengan JPN.
"Letak gambar kita kena kaji balik,  dan perlu ada perjanjian dengan JPN dan SPR," katanya yang memegang jawatan itu sejak 1 November 2004.
Inkuiri bersambung jam 9.30 pagi esok. 3 Julai, 2013.TMI

No comments:

Post a Comment