Beliau seharusnya merayakan pelantikan sebagai pengerusi sebuah
institusi yang dihormati, akan tetapi Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim
(gambar) diserang dari pelbagai penjuru baik dari partinya sendiri
mahupun daripada pembangkang.
Paling melukakan Ahli Parlimen Baling itu adalah serangan dari partinya sendiri.
Dari kaca mata ahli-ahli politik Umno, pilihan Datuk Seri Najib Razak
untuk jawatan pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) bukan sesuatu yang
tepat dari segi pengalaman, kelayakan dan kemampuan untuk memimpin
organisasi – mempunyai dana RM35 bilion.
Kritikan paling keras terhadap ahli politik berumur 47 tahun itu
adalah beliau hanya mempunyai pendidikan sekolah menengah dan mendapat
jawatan itu hanya kerana hubungan baik dengan keluarga Najib.
Nama beliau juga dikatakan satu-satunya yang dihantar oleh perdana
menteri ke Datuk Seri Jamil Khir Baharom, menteri hal ehwal Islam untuk
menggantikan Tan Sri Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor.
Sumber memberitahu The Malaysian Insider sebelum ini nama bekas Ketua
Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar disebut-sebut untuk jawatan itu.
Abdul Azeez sedar dengan rungutan mengenai pelantikannya dan beliau
bukan pilihan popular. Akan tetapi, beliau percaya dirinya perlu diberi
peluang.
“Saya merayu kepada semua yang kritik beri peluang kepada saya
terlebih dahulu berkhidmat sebagai Pengerusi Tabung Haji sebelum membuat
penilaian,” kata beliau melalui perbualan telefon bersama The Malaysian Insider.
“Saya anggap semua kritikan tersebut sebagai kritikan membina. Fokus
utama saya adalah untuk menjaga kebajikan jemaah haji dan umrah,”
tambahnya.
Beliau sedar tentang kritikan kerana tidak mempunyai latar belakang
perniagaan dengan pantas mengatakan TH mempunyai ahli-ahli lembaga
pengarah berwibawa untuk melakukannya.
“Hala tuju perniagaan Tabung Haji saya fikir sudah baik.
“Kita mempunyai ahli lembaga pengarah yang berkaliber seperti Datuk
Othman Mahmood yang pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Setiausaha
Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), jadi dari segi perniagaan saya
dah tak perlu bimbang sangat,” katanya.
Akan tetapi, Abdul Azeez mengakui tanggungjawab sebagai pengerusi TH
merupakan satu amanah besar yang beliau pegang dan berjanji untuk
menyelesaikan masalah berhubung dengan jemaah haji Malaysia.
“Berkenaan dengan aduan tentang jemaah haji yang tidak dapat
menunaikan ibadah kerana menunggu terlalu lama sehingga meninggal dunia.
Saya akan semak perkara ini dan cuba untuk memperbaikinya,” katanya.
Abdul Azeez yang menubuhkan Kelab Putera 1Malaysia pada 2010 dan
aktif dalam aktiviti badan bukan kerajaan (NGO) di dalam dan luar negara
seperti menjalankan program di Gaza, Palestin.
Penyokong Najib mempertahan pelantikan Abdul Azeez mengatakan ahli
politik itu membuktikan beliau adalah pemimpin yang efektif dan
berpengalaman sebagai ahli lembaga pengarah TH.
Perdana menteri sendiri hanya mendiamkan diri kerana tahu mood dalam
Umno yang tidak begitu memihak kepadanya selepas prestasi buruk Barisan
Nasional (BN) dalam pilihan raya 5 Mei lalu.
Penentangan dalaman terhadap pelantikan Abdul Azeez memberikan
indikasi hari di mana Najib sentiasa disokong oleh partinya sudah
berakhir.
Dalam masa 48 jam lalu, Ahli Parlimen Kinabatangan dari Umno, Datuk
Bung Mokhtar Radin menyerang perdana menteri secara terbuka mengatakan
beliau akan meletak jawatan sebagai anggota Parlimen jika tidak dapat
lebih banyak wang dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid
Hamidi tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan untuk memansuhkan Akta
Hasutan.
Sebelum ini media melaporkan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) seperti
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mendesak Najib supaya
meneliti semula pelantikan Abdul Azeez supaya ia mengikut garis panduan
tertentu berdasarkan keupayaan, kredibiliti dan tidak partisan yang
menyebelahi Umno dan BN?
"Janganlah dipolitikkan segala-galanya di negara ini dan saya nampak
Perdana Menteri terpaksa menganugerahkan, membayar dan memberi politikus
tertentu jawatan, saya masih merasakan ia melampaui batasan?
"Tabung Haji merupakan satu institusi yang harus kita pegang dan
melantik sesiapa yang terbaik, mempunyai kepakaran untuk memastikan
pegangan dan khazanah umat Islam tidak terjejas," kata Naib Presiden PKR
itu.
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar juga tidak bersetuju
dengan pelantikan Abdul Azeez dan mendesak Najib menimbang semula
tindakan itu?
Menurut Mahfuz, pelantikan jawatan tertinggi agensi kerajaan perlu
melalui proses saringan ketat bagi mengelakkan daripada dana awam itu
diselewengkan?
"Sepatutnya, untuk melantik seorang sama ada jawatan pengerusi,
lembaga pengarah, CEO dan panel pelaburan TH, saya fikir sepatutnya kita
perlu lakukan tapisan yang telus dalam pelantikan itu?
"Pengisian jawatan itu bukan untuk membantu ahli politik yang tidak
mendapat jawatan di atas (menteri) untuk menampung pendapatan dan
sebagainya,” kata Naib Presiden PAS itu dipetik dari laporan media.
The Malaysian Insider melaporkan sebelum ini Najib akan
memberikan habuan kepada ahli politik Umno dengan melantik mereka
mengisi jawatan syarikat berkait kerajaan seperti TH, Telekom Malaysia
dan Majlis Amanah Rakyat (Mara). – 8 Julai, 201
The Malaysian Insider
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment