Oleh Md Izwan July 20, 2013
Pemuda Umno Johor secara sebulat suara bersetuju mahu jawatan Ketua
Pemuda dipertandingkan menjelang pemilihan parti tersebut yang bakal
diadakan pada Oktober, memberi petunjuk penyandangnya Khairy Jamaluddin
(gambar) bakal berdepan tentangan.
Dalam mesyuarat khas Pemuda Umno Johor di Batu Pahat malam semalam,
seramai 20 daripada 26 Ketua Pemuda Umno Bahagian bersetuju supaya
jawatan tersebut dipertandingkan dan Datuk Zulkurnain Kamisan
menyifatkan pendirian tersebut tidak mempunyai motif tertentu kerana
selari dengan pindaan perlembagaan parti tahun 2009-2010.
"Pergerakan Pemuda Umno negeri sebenarnya berterima kasih kepada
Pergerakan Pemuda Umno Pusat yang telah bekerja keras dalam meletakkan
parti pada hati golongan muda.
"Cuma biarlah pemilihan kali ini mengikut suara hati akar umbi," kata
Ketua Pemuda Umno Johor itu dipetik dari Utusan Malaysia hari ini.
Dalam laporan itu lagi, Zulkurnain juga meminta supaya pimpinan Umno
memberikan ruang kepada golongan muda untuk bertanding ke peringkat
lebih tinggi pada pemilihan kali ini serta memuji langkah Presiden Datuk
Seri Najib Razak yang melantik ramai wakil Pemuda Umno di dalam Kabinet
selepas pilihan raya umum ke-13 lalu.
"Malah kami juga mengucapkan terima kasih dan menyanjung tinggi
keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang memberi
kepercayaan kepada ahli Pergerakan Pemuda Umno pada PRU-13 lalu sehingga
memberi peluang kepada mereka menjawat jawatan penting dalam Kabinet,"
tambah beliau.
Pendirian diambil oleh Pemuda Umno negeri Johor dilihat bertentangan
dengan pendirian Exco Pergerakan Pemuda Umno yang sebulat suara mahu
Ketuanya, Khairy diberikan mandat baru dalam pemilihan parti tahun ini.
Naib Ketuanya, Datuk Razali Ibrahim berkata, berdasarkan pencapaian
Pemuda Umno pada pilihan raya 5 Mei yang lalu di bawah pentadbiran
Khairy, kedudukan orang nombor satu dalam sayap parti itu perlu
dikekalkan.
Selain itu, beberapa pergerakan di negeri lain juga menyatakan
pendirian sama, antaranya Pemuda Umno Kelantan telah pun mencadangkan
jawatan Ketua Pergerakan Pemuda yang disandang oleh Khairy tidak
dipertandingkan pada pemilihan parti hujung tahun ini.
Pemilihan pada Oktober ini adalah ujian kepada pindaan perlembagaan
yang dilakukan ke atas parti komponen utama Barisan Nasional (BN) itu
dimana 146,500 perwakilan Umno daripada 191 bahagian di seluruh negara
akan membuat pemilihan pucuk pimpinan parti pada akhir tahun ini selaras
dengan pindaan perlembagaan parti pada 2009.
Perhimpunan Agung Khas Umno pada Oktober 2009 meluluskan pindaan
perlembagaan iaitu perwakilan bakal menentukan kepemimpinan Umno dengan
menghapuskan sistem kuota, persidangan mesyuarat perwakilan secara
serentak dan juga menambah bilangan ahli jawatankuasa lantikan Wanita.
Namun, Khairy sehingga kini masih berteka-teki untuk sama ada akan
mempertahankan jawatannya ataupun tidak, namun beliau mengalu-alukan
supaya jawatan tersebut dipertandingkan. - 20 Julai, 2013. The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment