BN menang dengan pertambahan majoriti pada PRK Kuala BesutANALISIS
BERITA: Sebagaimana diramal, Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan
raya kecil (PRK) Kuala Besut dengan meningkatkan jumlah majoritinya dari
2,434 pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) kepada 2,952 undi di kerusi
berhampiran dengan kubu kuat PAS di Kelantan.
Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman menang bergaya kali ini dengan
mengalahkan calon PAS, Endut @ Azlan bin Yusof atau lebih dikenali
masyarakat setempat dengan nama Che Long, dengan majoriti yang lebih
besar.
Benar Che Long popular di kalangan masyarakat setempat iaitu 71.6
peratus lebih dikenali berbanding calon BN 14.2 peratus (tidak kenal
kedua-duanya, 14.2 peratus) berdasarkan kajian Ilham Centre, tetapi
popular tidak semestinya disukai.
Ini kerana, mengikut kajian Ilham Centre, sebuah badan pengkaji pilihan
raya, 77.2 peratus dari pengundinya memilih faktor parti calon
berbanding hanya 12.8 peratus faktor keperibadian calon.
Kajian juga menunjukkan 82.7 peratus pengundi Kuala Besut yakin dengan kelebihan BN yang mempunyai sumber kewangan yang besar.
Sebagaimana didedahkan oleh PAS, BN yang membelanjakan hampir setengah
bilion ringgit atau RM19,000 bagi setiap pengundi untuk pilihan raya ini
berjaya memenanginya.
Kenapa pengundi Kuala Besut tidak mengundi calon PAS?
Faktor terbesar adalah kedudukan Kuala Besut yang terpencil dari arus perdana politik tanah air yang mahukan perubahan.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri mengakui penduduk
Kuala Besut perlu memperkasa penggunaan IT mereka untuk membolehkan
mereka terdedah kepada maklumat semasa tanpa dikawal BN.
Dalam PRU13, pengundi bandar yang terdedah kepada penggunaan internet
dan media sosial menolak BN dan mengundi Pakatan Rakyat (PR) hampir di
semua bandar utama di Malaysia kecuali Kangar melalui wakil mereka sama
ada PAS, PKR atau DAP.
Di samping itu, kenangan lama perpecahan penduduk kawasan itu antara
PAS dan Umno mengongkong mereka dari mendekati PAS walaupun PAS sudah
berubah.
Isu kafir mengkafir dan sembahyang dua iman masih menjadi stigma yang
tidak boleh mendekatkan penyokong Umno yang meninggalkan PAS sebelum
ini.
Usaha PAS untuk menampilkan seorang ahli perniagaan dan bercakap
tentang ekonomi berbanding dengan tradisi meletakkan calon 'ustaz' dan
bercakap mengenai agama semata-mata, belum berjaya memecahkan tembok
minda.
Isu-isu yang dimainkan PAS dalam menyerang Umno juga nampaknya berjaya
dipatahkan dengan baik oleh BN dengan menggunakan kuasa wang mereka.
Misalnya, apabila PAS memainkan isu empangan yang rosak di bawah tangan
calon BN, rakyat bertanya balik, siapa yang boleh memberi penyelesaian
kepada masalah mereka, PAS atau Umno?
PAS berjaya mendedahkan isu tetapi BN melalui pengarah pilihan rayanya,
Tan Sri Muhyiddin Yassin yang datang dengan penyelesaian iaitu
pengumuman peruntukan RM35 juta untuk membaiki balik empangan itu.
Begitu juga kemiskinan. PAS memang berjaya mendedahkan betapa miskinnya
penduduk Kuala Besut tetapi siapa yang boleh menyelesaikannya, PAS atau
BN?
Pengumuman PAS bahawa mereka tidak mahu jawatan menteri besar bahkan
Datuk Seri Ahmad Said akan terus jadi memegang jawatan itu walaupun
menang dalam PRK ini lebih memburukkan keadaan.
Ia menghantar signal salah kepada pengundi. Kalau PAS menangpun, parti
itu bukan boleh menyelesaikan kemiskinan mereka, BN juga yang mampu,
melalui Ahmad Said di Terengganu dan kerajaan Pusat yang dikuasai BN.
Jika begitu, buat apa undi PAS? Baik kekal bersama BN, duit dapat,
penyelesaian kepada masalah jelas kelihatan dan masa depan lebih cerah. –
25 Julai, 2013.
tak payah buat analisa buang masa saja. Semua siaran tv di malasysia ini berpehak kepada UUMNO. Gunakan jentera kerajaan. Rasuah bermaharaja lela. mengarut sistem pilihanraya kat malaysia ni.
ReplyDelete