Badan Perhubungan Umno Kelantan akan bekerja keras memastikan
Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan
Negeri (DUN) Kuala Besut pada 24 Julai ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata buat peringkat
permulaan, mulai esok 50 petugas termasuk penceramah akan dihantar untuk
membantu Umno Bahagian Besut menghadapi PRK itu.
"DUN Kuala Besut berjiran dengan Kelantan khususnya Pasir Puteh,
sudah pasti Umno Kelantan akan memainkan peranan besar dalam memastikan
BN menang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program
Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC) di Sekolah Kebangsaan
Batu Melintang di Jeli, Kelantan, hari ini.
PRK itu diadakan berikutan kematian anggota DUN berkenaan, Dr A Rahman Mokhtar akibat kanser paru-paru pada 26 Jun lalu.
Semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz
Mohd Yusof mengumumkan tarikh penamaan calon pada 12 Julai manakala hari
pengundian pada 24 Julai.
Sambil menjelaskan program ceramah yang bakal diadakan akan
disesuaikan dengan bulan Ramadan, Mustapa berharap sempena bulan mulia
itu suasana kempen tidak mencetuskan ketegangan. - Bernama, 6 Julai.
No comments:
Post a Comment