Filem Tanda Putera mula ditayangkan di pawagam semalam. Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 30 Ogos, 2013.PKR
tidak setuju dengan tindakan kerajaan Pulau Pinang menasihatkan
pengusaha pawagam di Pulau Pinang supaya jangan menayangkan filem
kotroversi, Tanda Putera, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Umum PKR itu berkata, Malaysia adalah negara merdeka dan sesiapa
sahaja berhak menyampaikan pandangan masing-masing sambil menyatakan
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hanya memberikan
nasihat kepada
pengusaha pawagam di negeri itu.
"Guan Eng hanya menasihatkan bukannya melarang untuk menayangkan Tanda
Putera. Saya sendiri tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan Pulau
Pinang itu.
"Apa yang dikesalkan ialah filem itu mempromosikan propaganda Barisan
Nasional (BN) malah pengarahnya sendiri Datin Paduka Shuhaimi Baba
mengakui filem berkenaan bergenrekan fiksyen.
"Filem itu dilihat memainkan sentimen kaum dan tidak perlu filem
berkenaan dipaparkan kepada generasi muda terutama mereka yang mengikuti
kursus Biro Tata Negara (BTN) bagi menggambarkan kisah sebenar
peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969," katanya ketika menyampaikan
perutusan Hari Merdeka kali ke-56 di Petaling Jaya hari ini.
Beliau berkata, orang ramai perlu faham filem berkenaan adalah agenda
BN dan ia digunakan semata-mata bagi menyampaikan agenda politik sempit
pemimpin BN.
Terdahulu, agensi berita nasional, Bernama melaporkan Menteri
Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, tindakan kerajaan
DAP Pulau Pinang menghalang tayangan filem Tanda Putera di pawagam di
negeri itu membuktikan sikap hipokrit parti itu yang kononnya
memperjuangkan kebebasan media dan bersuara.
Beliau bagaimanapun tidak terkejut dengan tindakan DAP kerana parti itu
sememangnya hanya akan memperjuangkan sesuatu perkara apabila ia
berkaitan dengan kepentingan mereka.
Katanya, apabila DAP menganggap filem itu berunsur perkauman, parti
itulah yang sebenarnya bersikap demikian sambil menyifatkan tindakan DAP
lebih bermotifkan politik dan cuba menutup sejarah sebenar negara.
Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan merujuk kepada Jabatan
Peguam Negara untuk tindakan lanjut berhubung keputusan kerajaan negeri
Pulau Pinang mengharamkan penayangan filem 'Tanda Putera'.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata pertemuan akan
diadakan antara kementerian dan Pejabat Peguam Negara bagi melihat
peruntukan undang-undang berkaitan dengannya.
Menyifatkan tindakan kerajaan Pulau Pinang itu tidak rasional, Ahmad
Shabery percaya pihak berkenaan berfikiran sempit dan autoritarian
kerana membuat keputusan drastik tanpa menonton dahulu filem itu. – 30
Ogos, 2013.
No comments:
Post a Comment