Buku Pak Lah baik tapi jangan sampai tegang
 SHAH ALAM – Kelab Veteran Umno menyambut baik usaha Tun Abdullah Ahmad Badawi yang dikatakan menjawab segala pertikaian sepanjang pentadbiran beliau sebagai perdana menteri dalam bukunya.

Setiausahanya, Datuk Mustafa Yaakob berkata, penjelasan itu wajar dilakukan oleh Abdullah seterusnya dapat menjernihkan keadaan sepanjang memerintah negara  tahun 2003 sehingga 2008.

Beliau turut memandang positif usaha tersebut dan yakin tidak akan menimbulkan sebarang perkara yang tidak baik kepada mana-mana pihak.

“Sebetulnya, saya belum membaca buku tersebut. Saya hanya mendengar beliau akan terbit buku. Kerana itu, saya katakan, ia usaha yang baik cuma jangan sampai ia menimbulkan keadaan tegang.

“Saya tidak tahu apakah inti pati buku tersebut. Jika dikatakan penjelasan, ia patut dipuji kerana selama ini Abdullah hanya berdiam diri. Jadi dengan menggunakan buku sebagai platform, kita nampak Abdullah bukan terus menyepi sebaliknya ada sebab,” katanya.

Beliau berkata, penjelasan yang diperkatakan mungkin akan melibatkan beberapa pihak dalam Umno tetapi menolak ia menjurus kepada perdana menteri sekarang, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Najib mendapat sokongan padu daripada Abdullah dan jarang kita mendengar Najib mengkritik Abdullah. Tetapi ada bekas pemimpin lain yang mungkin dijadikan sasaran,” katanya.

Mustafa berkata, semua pihak harus menerima buku tersebut sebagai satu wadah daripada bekas pemimpin tertinggi dengan hati terbuka.

“Ditambah dengan pemilihan Umno tidak berapa lama lagi, jangan ada pelbagai tafsiran sama ada daripada kalangan orang Umno mahupun orang luar,” katanya.