Bekas
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak bersetuju dengan
keputusan merobohkan surau kontroversi di resort Tanjung Sutera Beach
Resort yang digunakan penganut Buddha untuk beribadat di dalamnya.
Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata tindakan merobohkan surau tersebut
tidak boleh dihalang kerana penduduk setempat yang mendesak supaya ia
dirobohkan.
"Tapi tentang merobohkan surau, tidak tahulah.
"Saya mempunyai pandangan berbeza, tapi mereka mahukan ia dirobohkan...
jadi baiklah untuk pihak berkuasa laksanakannya," kata Dr Mahathir
dalam sidang media di rumah terbukanya di The Mines City (gambar).
Apabila ditanya tentang keputusan kerajaan menarik semula status
penduduk tetap (PR) semalam, Dr Mahathir bersetuju dengan langkah
tersebut serta menegaskan kerajaan berhak untuk mengambil tindakan
sedemikian.
"Kerajaan mempunyai hak untuk tarik status PR, jika sesuatu melanggari
polisi negara... sesuatu konfrontasi agama adalah kita tidak alukan.
"Saya rasa tarik PR bukan tindakan keras," kata Dr Mahathir apabila
ditanya tentang pengumuman oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi semalam.
Ahmad Zahid semalam berkata pemilik resort Tanjung Sutera Beach Resort
Syed Ahmad Syed Salim Alkaff, 45, telah diberitahu tentang penarikan
status PR semasa beliau ditahan reman selama empat hari baru-baru ini.
Pemilik resort tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun
Keseksaan iaitu mencemarkan tempat sembahyang dengan niat hendak
mengaibkan agama mana-mana golongan.
Beliau boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.
Di samping itu, Sultan Johor Sultan Ibrahim juga telah mengarahkan
surau tersebut dirobohkan sebaik siasatan selesai dijalankan.
Sebuah video yang dimuat naik di laman YouTube pada 10 Ogos lalu
menunjukkan sekumpulan sami dalam sebuah bangunan kecil melakukan
meditasi di hadapan potret Buddha.
Video sepanjang 63 saat itu bertajuk “Cina Buddha sembahyang di surau;
surau jadi tokong” dimuat naik oleh “Sebastianphiu” dan ditonton lebih
10,000 kali.
Lokasi kawasan surau turut dinyatakan dalam video berkenaan iaitu di Sedili Besar, Kota Tinggi, Johor.
Pengurus resort itu mempertahankan keputusannya memberi kebenaran kepada penganut Buddha menggunakan surau.
Katanya, surau berkenaan hanya digunakan untuk bermeditasi dan tidak
menganggap perkara itu sebagai satu kesalahan. - 18 Ogos, 2013.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment