Friday, August 16, 2013

Kudeta Mesir cuba padam bukti kekejaman

Harakahdaily, 16 Ogs 2013

 
(Jenazah yang sempat diselamatkan dari dibakar dan ditempatkan di Masjid Al_Iman)

MESIR: Kerajaan kudeta Mesir yang dikuasai tentera dilaporkan sedaya upaya cuba memadamkan kekajaman mereka yang telah membunuh ribuan penyokong legitimasi di beberapa kawasan di Kaherah khususnya di Medan Raba'ah Adawiyah, semalam.

Beberapa sumber termasuk Ikhwan Muslimin mendedahkan, pihak tentera cuba untuk menghapuskan bukti dengan sebolehnya menipu angka korban semalam pada kadar paling rendah.

Tindakan terdesak dilakukan bagi mencapai tujuan itu termasuk dengan membakar mayat-mayat penyokong Morsi di Medan Raba'ah semalam selepas menembak mereka.

(Keadaan Masjid Raba'ah selepas dibakar oleh pihak tentera)

Pecubaan kedua, mereka membakar jenazah yang dikumpulkan di tingkat bawah Hospital Awam di Medan Raba'ah semalam.

Di tingkat itu, terdapat ribuan jenazah penyokong Morsi yang terkorban ditempatkan disitu.

Bagaimanapun hanya 350 mayat sahaja sempat diusung keluar dari hospital itu manakala selebihnya hangus terbakar.

Kesemua mayat yang berjaya dikeluarkan itu kemudian dikumpulkan di Masjid Al-Iman, kawasan Makram 'Abid.

Percubaan ketiga pula, pihak keselamatan didakwa enggan mengeluarkan surat kelulusan untuk pengebumian tersebut, dan diubah sebab kematian adalah kerana bunuh diri.

Percubaan keempat, para petugas perubatan di Pusat Nasr diarah mengeluarkan laporan perubatan palsu terhadap mangsa korban di Rabaah.

Pengerusi Kesatuan Farmasi wilayah Qalyubiyah mendedahkan para petugas perubatan di Pusat Nasr ditekan oleh pihak berkuasa agar merekodkan punca kematian penyokong Morsi itu akibat seksaan dalam tahanan, bukan ditembak ketika serangan polis di Rabaah.

Tekanan ini diberikan oleh pihak berkuasa melalui Kementerian Kesihatan kepada anggota keluarga mangsa korban yang ingin menuntut mayat keluarga masing-masing. Sebagai contoh, Rumah Mayat "Zenhom" enggan membenarkan mayat mangsa dikeluarkan sehingga keluarga mangsa menandatangani surat akuan bahawa mangsa mati akibat membunuh diri.

Percubaan kelima, pihak tentera melepaskan gas pemedih mata ke dalam Masjid Al-Iman -masjid yang dijadikan tempat pengumpulan jenazah penyokong Morsi - bagi menyuraikan ahli keluarga mangsa yang sedang mengecam jenazah di dalamnya.

Tindakan tentera itu dipercayai bertujuan untuk mencuri jenazah di Masjid itu bagi mencapai matlamat mereka iaitu menghapuskan bukti dengan mendakwa hanya sedikit yang terkorban dalam serangan semalam.


(Anggota keluarga meneliti senarai nama mereka yang terkorban)

Dalam pada itu, sumber R.N.N menyebut kiraan pertama angka syuhada' sehingga kini melebihi 3,000 orang di seluruh negara sepanjang operasi ketenteraan semalam.

Mereka yang terkorban di dua lokasi utama himpunan iaitu Raba'ah dan Nahdhah sahaja melebihi 2,500 orang.

Lebih 300 orang lagi dilaporkan terkorban di beberapa wilayah lain dalam perhimpunan yang diadakan sejurus pembunuhan di Raba'ah dan Nahdhah.

Di pihak kerajaan kudeta pula, mereka hanya menyebut jumlah kematian hanya ratusan, malah tidak lebih dari 1000 orang.

Mereka pula lebih membesarkan kes beberapa orang polis terkorban dalam inseden semalam.

No comments:

Post a Comment