Anak mahu tikam ibu dipenjara 15 bulan  
  • Alias dibawa Mahkamah Majistret, semalam.
1 / 1
KUALA TERENGGANU - Seorang anak yang tergamak mengugut menikam ibunya menggunakan sebilah pisau menerima padah akibat perbuatannya itu, selepas dijatuhi hukuman penjara 15 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi membuat keputusan itu selepas Alias Ismail, 36, dari Kampung Kebor Manir, di sini, mengaku bersalah dengan sengaja mengamuk menggunakan sebilah pisau untuk menakutkan ibunya, Salma Hamid, 67, kira-kira jam 1.30 petang, pada 10 Ogos lalu.

Alias yang tidak mempunyai pekerjaan didakwa di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 506 kanun yang sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Rathna, manakala Alias tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, sebelum kejadian, Alias yang baru keluar dari bilik air terus bertanyakan wang berjumlah RM20 miliknya yang hilang dan menuduh adiknya, Mohd Assadi mengambil wang tersebut.

Alias terus mengamuk memecahkan barangan dapur dan sambil memegang sebilah pisau, dia turut mengugut akan menikam kedua orang tuanya.

Bimbang berlaku kejadian tidak diingini, abangnya yang tinggal di rumah berhampiran membuat laporan polis dan Alias ditangkap pada hari sama, jam 5 petang di kediaman mereka.