8 Ogos 2013
|
ROSARIO, Argentina - Satu letupan kuat akibat kebocoran gas telah meranapkan sebuah pangsapuri sepuluh tingkat dan menyebabkannya
terbakar di sini kelmarin.
Insiden itu mengakibatkan sekurang-kurangnya lapan maut dan 61 yang
lain cedera. Pegawai perbandaran juga menyatakan sekurang-kurangnya 19
orang masih hilang.
Ratusan anggota bomba dan penyelamat bertungkus-lumus untuk mencari
mangsa yang mungkin terselamat, walaupun risiko bangunan tersebut runtuh
amat tinggi.
"Seramai lapan orang maut. Operasi mencari akan diteruskan sepanjang
malam. Terdapat 19 orang yang masih hilang," kata Datuk Bandar Rosario,
Monica Fein.
Letupan itu meranapkan bahagian hadapan bangunan. Api yang marak juga
dapat dilihat dengan jelas dari balkoni. Fein memberitahu sebanyak 17
buah ambulans telah dikejarkan ke tempat kejadian.
Orang ramai yang berada dalam jarak dua kilometer dari lokasi letupan
dipindahkan. Sebanyak 11 buah sekolah turut ditutup dan bekalan gas
dipotong.
Pasukan keselamatan menyatakan anggotanya dapat menyelamatkan mangsa menerusi bumbung sebuah pasar raya bersebelahan. - AFP
No comments:
Post a Comment